Select your language
KUALA LUMPUR, 29 Okt – Dasar monetari dijangka kekal akomodatif dan menyokong pemulihan ekonomi di samping memastikan harga kekal terkawal, kata Kementerian Kewangan (MoF).
“Bagaimanapun, mengambil kira ketidaktentuan dalam tempoh pandemik, pendirian dasar monetari akan terus ditentukan oleh data dan maklumat baharu.
“Perkara ini perlu bagi memastikan risiko terhadap prospek pertumbuhan dapat dikurangkan serta kestabilan harga dikekalkan,” kata Kementerian Kewangan dalam laporan Tinjauan Ekonomi 2022 yang dikeluarkan, hari, ini.
MoF berkata dasar monetari pada 2021 kekal akomodatif bagi mengurangkan kesan buruk terhadap ekonomi disebabkan oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berlarutan disamping memberi sokongan kepada pemulihan ekonomi
Pada tempoh tujuh bulan pertama 2021, kadar dasar semalaman kekal pada 1.75 peratus.
Bekalan M1 meningkat sebanyak 10.8 peratus kepada RM550.8 bilion pada akhirJulai 2021, berikutan peningkatan mata wang dalam edaran (13.7 peratus) dan deposit permintaan (9.9 peratus), manakala M3 meningkat sebanyak 3.8 peratus kepada RM2.11 trillion.
MoF berkata bekalan wang akan terus disokong oleh penawaran kredit kepada sektor swasta dalam jangka masa terdekat berikutan aktiviti ekonomi yang kembali beroperasi.
Berhubung prestasi sektor perbankan, MoF berkata kedudukan modal bank kekal kukuh bagi menampan potensi risiko dan meneruskan perantaraan kredit dalam ekonomi.
“Kedudukan ini disokong oleh tahap modal dan mudah tunai yang tinggi serta kualiti aset yang berdaya tahan dan rizab kerugian pinjaman yang berhemah,” katanya, sambil menyatakan lebihan jumlah penampan modal kekal stabil pada RM129.2 bilion pada akhirJulai 2021.
Sementara itu, MoF berkata pasaran kewangan dijangka terus rancak.
Prestasi positif tersebut akan diperkukuh oleh inisiatif di bawah Pelan Induk Pasaran Modal Ketiga (CMP3) dan Pelan Induk 3.0, pelaksanaan pakej rangsangan ekonomi yang berterusan, projek infrastruktur sedia ada dan projek strategik akan datang di bawah Rancangan Malaysia Ke-12, 2021-2025.
“Pelonggaran langkah pembendungan pandemik COVID-19 dan pembukaan semula semua sektor ekonomi akan menyumbang secara positif terhadap prestasi pasaran secara keseluruhan.
“Bagaimanapun, risiko terhadap pertumbuhan masih wujud seperti pelaksanaan semula langkah pembendungan yang ketat, pemulihan pertumbuhan global yang lebih perlahan daripada jangkaan dan kadar normalisasi dasar monetari yang lebih pantas oleh bank pusat utama,” kata Kementerian itu.
MoF berkata pelbagai langkah akan terus diambil bagi memastikan pasaran kekal dinamik, teratur dan berdaya tahan, termasuklah mempercepat penerapan prinsip Pengantaraan berasaskan Nilai, meningkatkan tumpuan terhadap ekonomi halal dan menekankan pembangunan penyelesaian digital.
Perhatian juga akan diberikan bagi mempromosi pelaburan berasaskan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), menyokong peralihan kepada negara berstatus rendah karbon, menerapkan amalan terbaik antarabangsa dan menambah baik tadbir urus, tambahnya.