KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- Ekonomi Malaysia dijangka berkembang pada kadar sederhana antara empat hingga lima peratus pada 2023 berbanding pertumbuhan antara 6.5 hingga tujuh peratus yang diunjurkan tahun ini.
Kementerian Kewangan menerusi laporan Tinjauan Ekonomi 2023 yang dikeluarkan hari ini berkata pengembangan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) pada 2023 berkemungkinan disokong oleh dasar yang berterusan untuk mengurangkan kesan kenaikan kos sara hidup; risiko ketidaktentuan geopolitik yang berpanjangan; dan situasi kewangan global yang ketat.
Mengenai unjuran pertumbuhan KDNK 2022 sebanyak 6.5 peratus hingga tujuh peratus, dalam Bajet 2022 kerajaan mengunjurkan ekonomi negara berkembang antara 5.5 peratus dan 6.5 peratus bagi tahun ini.
Kementerian Kewangan menjangkakan ia akan berdasarkan momentum pertumbuhan ekonomi domestik yang memberangsangkan, pengembangan sektor luaran yang mantap dan peningkatan berterusan pasaran buruh.
Sektor perkhidmatan dijangka menjadi penyumbang utama pertumbuhan KDNK 2023, yang diunjur berkembang lima peratus tahun depan, diikuti sektor pembinaan (4.7 peratus), pembuatan (3.9 peratus), pertanian (2.3 peratus) dan perlombongan (1.1 peratus).
Sementara itu, Kementerian Kewangan menjangkakan sektor swasta kekal sebagai pemacu utama bagi perkembangan tahun depan, dengan permintaan domestik dijangka terus berkembang sebanyak 5.1 peratus.
"Perbelanjaan sektor swasta diunjur berkembang sebanyak 5.8 peratus pada 2023 dengan sumbangan kepada KDNK sebanyak 76.2 peratus, manakala perbelanjaan sektor awam meningkat dua peratus dengan sumbangan kepada KDNK sebanyak 17 peratus," katanya.
Penggunaan swasta kekal kukuh dan dijangka berkembang sebanyak 6.3 peratus dan pelaburan swasta diunjur mencatat pertumbuhan sebanyak 3.7 peratus pada 2023.
Dari segi sektor luar negeri eksport kasar diunjur menyederhana sebanyak 2.2 peratus meliputi semua sektor pada 2023, manakala import kasar dijangka meningkat secara marginal sebanyak 0.2 peratus dalam keadaan ketidaktentuan global.
Sementara itu, kementerian tersebut berkata akaun semasa dijangka mencatat kelebihan sebanyak RM73.04 bilion atau 4.2 peratus daripada pendapatan negara kasar (PNK), sejajar dengan penambahbaikan berterusan dalam aktiviti ekonomi.
Kadar inflasi diunjurkan mencatat antara 2.8 peratus dan 3.3 peratus pada 2023, manakala Indeks Harga Pengeluar (IHPR) dijangka menyederhana disumbangkan oleh kos input global yang stabil.
Mengenai ringgit, Kementerian Kewangan berkata pada masa depan, kadar pertukaran ringgit yang fleksibel akan terus memainkan peranan penting bagi membantu ekonomi domestik membuat penyesuaian terhadap perubahan yang melibatkan ekonomi dan kewangan global.
"Dalam jangka masa sederhana, usaha berterusan yang dilaksanakan terhadap pembaharuan struktur akan mengukuhkan asas ekonomi Malaysia dan seterusnya menyokong nilai ringgit," katanya.
Hutang statutori sebanyak 63 peratus pada akhir 2023
Jumlah hutang pada akhir 2023 diunjurkan sekitar 65 peratus daripada KDNK, manakala hutang statutori sebanyak 63 peratus, disebabkan oleh peruntukan perbelanjaan pembangunan dan pinjaman yang besar berikutan jumlah obligasi pembiayaan semula hutang matang yang tinggi, antaranya penebusan bon 1MDB.
"Oleh yang demikian, mengambil kira legasi hutang COVID-19 dan memastikan kelancaran pelaksanaan RMKe-12, kerajaan bercadang mengekalkan had statutori hutang pada 65 peratus daripada KDNK dalam jangka masa sederhana selepas Akta 830 tamat pada 31 Dis, 2022," kata Kementerian Kewangan sambil menambah paras hutang yang semakin tinggi akan meningkatkan kos pinjaman dan risiko pembiayaan semula.
Sehingga akhir Jun 2022, hutang luar meningkat kepada RM1.128 trilion atau 65.9 peratus daripada KDNK, terutamanya disebabkan oleh pinjaman antara bank yang lebih tinggi dan kesan penilaian daripada kadar tukaran mata wang asing berikutan penyusutan nilai ringgit berbanding dolar AS.
Pada 2021, jumlah hutang tersebut adalah RM1.08 trilion atau 70 peratus daripada KDNK. Mengenai hasil kerajaan persekutuan, statistik daripada laporan tersebut menunjukkan ia dijangka menyusut 4.4 peratus pada 2023 kepada RM272.57 bilion daripada pertumbuhan sebanyak 22.0 peratus (RM285.22 bilion) pada 2022.
Kutipan cukai SST RM32 bilion pada 2023
Kutipan Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST) dijangka merekodkan RM32 bilion atau 1.8 peratus daripada KDNK dengan cukai jualan diunjur meningkat kepada RM16.3 bilion dan cukai perkhidmatan menambah kepada RM15.7 bilion.
Manakala hasil bukan cukai dianggarkan sebanyak RM67 bilion merosot 23 peratus berbanding 2022 disebabkan oleh jangkaan terimaan dividen daripada entiti kerajaan yang lebih rendah, terutamanya dividen daripada Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) sebanyak RM35 bilion.
Hasil berkaitan petroleum 2023 dijangka mencatatkan RM58.9 bilion atau 21.6 peratus kepada jumlah hasil sejajar dengan andaian purata harga minyak mentah global lebih rendah iaitu US$90 setong.
Sementara itu, dalam kata pengantar laporan Tinjauan Ekonomi 2023, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata peralihan kepada fasa endemik dan pembukaan semula sempadan antarabangsa pada 1 April, 2022 merupakan antara faktor yang akan mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi sepanjang tahun ini.
"Melangkah ke hadapan, kerajaan sentiasa memantau perkembangan ketidaktentuan luar yang berterusan dan kesannya terhadap ekonomi negara," katanya.
Bajet 2023 memberi sokongan kukuh kepada ekonomi
Menurut Kementerian Kewangan, keraiaan terus memberikan sokongan kukuh bagi pertumbuhan ekonomi dengan menyediakan peruntukan berjumlah RM372.3 bilion atau 20.5 peratus daripada KDNK di bawah Bajet 2023.
Daripada jumlah itu, RM272.3 bilion (73.1 peratus) disalurkan kepada perbelanjaan mengurus (OE) manakala RM95 bilion ( 25.5 peratus) untuk perbelanjaan pembangunan (DE).
“Baki RM5 bilion adalah untuk pembayaran tertunggak bagi komitmen Kumpulan Wang Covid-19 (KWC-19) yang dibuat pada 2022 sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Seksyen 8(1), Akta 8302”, katanya dalam laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2023 yang dikeluarkan hari ini.
Menurutnya, tiga penerima utama Bajet 2023 ialah Kementerian Kewangan (RM72.2 bilion), Kementerian Pendidikan (RM55.6 bilion) dan Kementerian Kesihatan (RM36.1 bilion) yang merangkumi 44 peratus daripada jumlah perbelanjaan.
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata Bajet 2023 akan mengutamakan inisiatif pembaharuan untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat, mengukuhkan kelangsungan perniagaan, menggalakkan kemakmuran ekonomi serta menambahbaik sistem penyampaian perkhidmatan awam bagi mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi berikutan landskap pertumbuhan yang lebih mencabar.
"Bajet 2023 dirangka berdasarkan tiga bidang tumpuan utama: iaitu memperkukuh momentum pemulihan ekonomi, membina daya tahan ekonomi dan memacu pembaharuan yang komprehensif," katanya dalam prakata laporan Tinjauan Ekonomi 2023.
Melangkah ke hadapan, beliau berkata, kerajaan akan terus memantau perkembangan global dan merangka dasar yang bersesuaian untuk mendepani sebarang kejutan luar, bertindak secara responsif bagi melindungi kehidupan dan kesejahteraan rakyat serta memastikan pemulihan perniagaan.