KUALA LUMPUR, 3 Okt (Bernama) – Pembangunan industri halal Malaysia memerlukan usaha integrasi produk, perkhidmatan kewangan Islam dan aktiviti sektoral, kata Timbalan Menteri Kewangan I Datuk Mohd Shahar Abdullah.
Beliau berkata, aktiviti terbabit termasuk aspek pengumpulan dana dan keterangkuman kewangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
“Pembangunan industri halal ini juga memerlukan kerjasama bagi menyokong pertumbuhan industri halal yang berteraskan inovasi dan membangunkan lebih banyak jaguh halal tempatan, khususnya PMKS,” katanya dalam ucap tama sempena pelancaran laporan Kewangan Islam dan Pembangunan Ekonomi Halal Malaysia, hari ini.
Mohd Shahar berkata, di sebalik kepentingan pembangunannya, industri halal juga terus berdepan beberapa isu serta cabaran.
“Ini termasuk cabaran berkaitan kekurangan kapasiti untuk inovasi, penyelidikan dan pembangunan bagi menghasilkan produk serta perkhidmatan dengan nilai tambah tinggi. Cabaran lain adalah kurangnya dinamisme PMKS halal domestik untuk memperkukuh jenama halal Malaysia serta meningkatkan lagi kebolehlihatan produk,” katanya.
Malah, beliau berkata masih banyak PMKS yang belum diintegrasi sepenuhnya dalam rantaian bekalan halal global atas alasan belum mempunyai sijil halal kerana kekurangan kapasiti untuk memperoleh pensijilan, kepakaran, rangkaian dan pembiayaan.
“Produk-produk tempatan kita berpotensi untuk dipasarkan di peringkat global. Ini memerlukan kerjasama antara sektor swasta dan awam untuk membantu pembangunan nilai jenama dan memanfaatkan teknologi media baharu seperti media sosial bagi meningkatkan kesedaran selain menjana lebih banyak minat terhadap jenama tempatan kita,” katanya.
Pada masa sama, katanya, kerjasama antara sektor awam dan swasta turut menjadi teras dalam menggerakkan pembiayaan industri halal menerusi gabungan kepakaran untuk inovasi penyelesaian pembiayaan alternatif dan perkongsian risiko.
“Antara instrumen kewangan sosial Islam yang berpotensi adalah wakaf dan zakat yang boleh ditinjau lebih lanjut bagi membangunkan perusahaan mikro dalam kalangan pemain industri halal Bumiputera," katanya.
Data rasmi pihak Halal Development Corporation menunjukkan eksport halal meningkat sebanyak 19.0 peratus kepada RM36.3 bilion daripada RM30.5 bilion pada 2020 yang menyumbang sejumlah 2.9 peratus daripada keseluruhan eksport Malaysia.
“Dari segi pelaburan, taman-taman halal Malaysia telah menarik jumlah terkumpul RM16.1 bilion daripada penggiat asing dan domestik sejak 2011.
“Sebanyak 295 syarikat sedang beroperasi di 21 taman halal di seluruh Malaysia dengan 42 syarikat adalah syarikat multinasional dan bakinya merupakan syarikat milik tempatan," katanya.