Select your language
KUALA LUMPUR, 29 Okt -- Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dijangka terus mengukuh antara 5.5 peratus hingga 6.5 peratus pada 2022, disokong oleh peningkatan signifikan dalam perdagangan global, harga komoditi yang stabil, pembendungan berterusan terhadap pandemik serta sentimen pengguna dan perniagaan yang meningkat secara beransur-ansur.
Sementara itu, sektor yang diunjur meningkat pada tahun 2022 adalah perkhidmatan sebanyak 7.0 peratus (2021: 2.6 peratus), pembuatan 4.7 peratus (2021: 8.1 peratus), pertanian 3.9 peratus (2021: -0.8 peratus), pembinaan 11.5 peratus (2021: -0.8 peratus) manakala perlombongan susut 0.3 peratus (2021:1.5 peratus).
Menurut laporan Tinjauan Ekonomi 2022 yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan (MoF) hari ini, ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 7.1 peratus pada separuh pertama 2021, dan pertumbuhan ini dijangka berterusan pada separuh kedua tahun ini, terutamanya pada suku keempat dengan lebih banyak sektor ekonomi dan sosial beroperasi dengan kapasiti penuh.
“Secara keseluruhan, pertumbuhan ekonomi dijangka berkembang antara tiga hingga empat peratus pada 2021, dengan kesinambungan pelbagai pakej rangsangan bagi menangani impak COVID-19 akan memberi kesan limpahan dan sokongan tambahan kepada ekonomi pada 2022,” jelas laporan itu.
Namun begitu, laporan berkenaan menambah prospek yang lebih baik itu turut bergantung kepada faktor lain termasuk kejayaan mengawal pandemik, keberkesanan pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dan tinjauan ekonomi global yang kukuh.
2022 tahun pemulihan
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata dengan nilai ambang Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi setiap negeri diurus dan dipantau secara rapi, ekonomi domestik dijangka dibuka sepenuhnya pada suku keempat 2021 dan meneruskan trajektori pertumbuhan pra pandemik menjelang 2022.
“Kerajaan komited sepenuhnya untuk memastikan kita kembali pulih pada tahun hadapan, disokong oleh Bajet 2022 yang memberi tumpuan dalam memacu pemulihan ekonomi, membangunkan semula daya tahan negara dan memangkinkan perubahan,” kata beliau dipetik sebagai berkata dalam prakata yang terkandung dalam laporan berkenaan.
"Sebagaimana kita berhasrat untuk mencapai pertumbuhan ekonomi dalam jangka masa pendek, kerajaan juga komited bagi memenuhi agenda reformasi dan pembangunan negara yang lebih besar seperti yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas 2021-2025 (RMK12): Keluarga Malaysia - Makmur, Inklusif, Mampan," jelas beliau.
Perdana Menteri berkata secara keseluruhan, Bajet 2022 akan menyokong semua dasar kerajaan, seperti Dasar Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) Negara dan MyDigital serta seterusnya memacu pertumbuhan jangka masa pendek di samping membina asas untuk pembangunan masa hadapan depan dan lebih penting lagi, daya tahan sosioekonomi.
Bajet Pengembangan
Sementara itu, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata pertumbuhan KDNK diunjurkan berkembang antara 5.5 peratus hingga 6.5 peratus bagi 2022 berikutan pembukaan semula sektor ekonomi dan sosial secara lebih menyeluruh serta peningkatan permintaan luar dari rakan dagangan utama.
“Pemacu pertumbuhan lain termasuk harga komoditi yang lebih tinggi, persekitaran pasaran buruh yang bertambah baik, peralihan pantas kepada pendigitalan serta pelaksanaan projek infrastruktur dengan kesan pengganda yang tinggi,” katanya.
Bagi menjamin kesejahteraan rakyat pada 2022, Tengku Zafrul berkata kerajaan akan mengutamakan ekonomi dan sumber pertumbuhan baharu.
“Dasar fiskal mengembang akan dikekalkan untuk merangsang ekonomi, dengan inisiatif Bajet 2022 menumpukan kepada mempercepat pemulihan, memperkukuh daya tahan ekonomi dan memangkin pembaharuan,” tambahnya.
Ia juga bertujuan untuk memastikan kesejahteraan rakyat, melindungi kesinambungan perniagaan dan menggiatkan semula ekonomi.
Peruntukan Bajet 2022 berjumlah sehingga RM332.10 bilion merupakan satu lagi jumlah terbesar bagi negara berbanding RM322.54 bilion untuk Bajet 2021, yang sebahagian besarnya disalurkan kepada penjagaan kesihatan dan pendidikan.
Selepas mempertimbangkan pertumbuhan hasil dan keperluan perbelanjaan, defisit fiskal dijangka menyederhana kepada enam peratus daripada KDNK pada 2022. Dalam Rangka Kerja Fiskal Jangka Sederhana 2021-2023, kerajaan mengunjurkan konsolidasi fiskal kepada purata 4.5 peratus kepada KDNK dalam tempoh tiga tahun.
Unjuran itu berdasarkan andaian pemulihan ekonomi yang stabil dengan pertumbuhan KDNK benar antara 4.5 peratus – 5.5 peratus, harga minyak mentah antara US$45 – US$55 setong dan pengeluaran minyak mentah sebanyak 580,000 tong sehari.
Menurut laporan itu lagi, Bajet 2022 akan menggariskan inisiatif yang akan memacu pemulihan ekonomi, mempertingkatkan daya tahan negara, memangkin pembaharuan di seluruh negara dan menambah baik penyampaian perkhidmatan awam.
Ia berkata program dan projek dalam Bajet 2022 akan disesuaikan dengan keutamaan dalam RMK12 dan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030).
"Ia akan menyokong aspirasi negara untuk menjadi negara makmur, inklusif dan mampan," katanya.
Menyentuh mengenai perkembangan monetari dan kewangan, laporan itu menyatakan Kadar Dasar Semalaman (OPR) dan Keperluan Rizab Berkanun (SRR) kekal stabil dalam tempoh tujuh bulan pertama 2021, masing-masing pada 1.75 peratus dan 2.0 peratus.
“Usaha untuk meningkatkan mudah tunai dalam pasaran termasuk fleksibiliti yang diberikan kepada institusi perbankan untuk menggunakan Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dan Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII) untuk mematuhi SRR sehingga akhir 2022,” katanya.
Ia turut memberi jaminan bahawa kedudukan dasar kewangan pada masa hadapan akan terus dipandu oleh data dan maklumat baharu serta kesan terhadap keseluruhan prospek inflasi dan pertumbuhan domestik.