Pilih bahasa anda
KUALA LUMPUR, 15 Dis – Keputusan untuk menutup atau menamatkan operasi Malaysia Aviation Group Bhd (MAGB) masih belum dimuktamadkan dan bergantung kepada hasil rundingan syarikat itu dengan pihak pemiutang dan pemajak bagi tujuan penstrukturan semulanya.
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata pada masa sama, pihak pengurusan Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) yang juga pemilik penuh MAGB, akan turut melaksanakan usaha terbaik untuk memastikan kebajikan kakitangan kumpulan MAGB terjamin termasuk jika perlu, bayaran pampasan yang setimpal dengan undang-undang pekerjaan.
"Setakat 31 Ogos 2020, jumlah kecairan yang dimiliki oleh Kumpulan MAGB adalah kira-kira RM366 juta selain kira-kira RM578 juta yang tersedia untuk digunakan daripada dana yang diperuntukkan oleh Khazanah.
"Sehingga kini, Khazanah juga telah menyuntik kira-kira RM28 bilion ke dalam syarikat penerbangan tersebut manakala jumlah liabiliti MAGB pada masa ini yang akan disusun semula adalah dianggarkan sebanyak RM16 bilion," katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Chan Foong Hin (PH-Kota Kinabalu) yang bertanya sama ada pengurusan Malaysia Airlines Bhd (MAB) telah mendapat restu kerajaan untuk mengumumkan penutupannya jika rundingan dengan syarikat pajakan kapal terbang berhubung rancangan penstrukturan semula itu gagal dan jika kerajaan akan menyelamatkan syarikat penerbangan nasional tersebut.
Jelas Tengku Zafrul, meskipun tidak akan terlibat dalam sebarang pelan untuk menyelamatkan MAB, kerajaan akan mengadakan rundingan lanjut dengan pihak Khazanah bagi mengenal pasti hala tuju syarikat khususnya dalam memperkukuh kedudukan kewangan dan mengenal pasti penyelesaian strategik terbaik untuk kumpulan penerbangan tersebut.
MAB yang ditubuhkan pada 7 Nov, 2014 bagi mengambil alih operasi, aset dan liabiliti syarikat Malaysia Airlines System Bhd (MAS), telah diletakkan di bawah MAGB yang dimiliki sepenuhnya oleh Khazanah.
Selain itu menerusi jawapan berasingan, Tengku Zafrul menegaskan bahawa memandangkan kerajaan tidak mempunyai sebarang pegangan saham dalam MAGB dan MAB, sebarang cadangan pemulihan dan penstrukturan syarikat adalah tertakluk kepada pertimbangan dan kelulusan Lembaga Pengarah Khazanah, selaku pemegang saham tunggal syarikat.
"Kerajaan melalui Skim Jaminan Prihatin Danajamin (SJPD) menyediakan program pembiayaan bernilai RM50 bilion dengan jaminan sebanyak 80 peratus ke atas pembiayaan bagi modal kerja syarikat.
"Namun demikian, kemudahan jaminan ini disediakan untuk manfaat kepada semua syarikat yang beroperasi di Malaysia dalam semua sektor termasuk sektor penerbangan tertakluk kepada syarat-syarat kelayakan yang telah ditetapkan," katanya.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Muhkriz Mahathir (BEBAS-Jerlun) mengenai sama ada kerajaan berpendapat bahawa negara tidak lagi memerlukan perkhidmatan penerbangan nasional jika dibiarkan MAS dibelenggu masalah kewangan yang kritikal.