Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Petikan Akhbar

Kerajaan akan laksana langkah konsolidasi dan perkukuh kedudukan fiskalnya – Tengku Zafrul

Kerajaan akan laksana langkah konsolidasi dan perkukuh kedudukan fiskalnya – Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR, 29 Julai – Kerajaan akan melaksanakan langkah konsolidasi dan pengukuhan kedudukan fiskalnya termasuk meluaskan asas hasil, mengukuhkan pentadbiran dan pematuhan cukai serta meningkatkan kecekapan perbelanjaan bagi mengawal paras defisit fiskal kerajaan setelah ekonomi kembali pulih, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata langkah-langkah untuk mengukuhkan kedudukan kewangan kerajaan, terutamanya langkah berkaitan hasil adalah amat penting demi memastikan kedudukan kewangan kembali kukuh dan berdaya tahan dalam tempoh jangka sederhana dan panjang.

“Sebelum pandemik COVID-19 melanda negara, kita berada di atas landasan pengukuhan fiskal yang konsisten sejak negara beralih keluar daripada krisis kewangan global pada 2009, apabila defisit kita dikurangkan kepada 3.4 peratus daripada 6.7 peratus pada 2019, sebelum meningkat semula kepada 6.2 peratus pada 2020,” katanya pada sesi penerangan pada Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di Dewan Rakyat hari ini.

Tengku Zafrul, yang juga Menteri Penyelaras Pelan Pemulihan Negara (PPN), berkata kerajaan akan mengusulkan cadangan pindaan bagi melonggarkan peraturan had hutang untuk menyokong pelan pemulihan ekonomi berdasarkan kemampuan keberhutangan negara.

Sehingga akhir Jun tahun ini, paras hutang statutori telah mencecah 56.8 peratus, namun ia masih di bawah had statutori 60 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang dibenarkan.

“Dengan ruang fiskal yang terhad, kerajaan tiada pilihan selain mengoptimumkan sumber pembiayaan sedia ada melalui rasionalisasi perbelanjaan, peningkatan hasil daripada ekosistem kerajaan termasuk penggunaan dana Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) serta bersedia meningkatkan had siling Kumpulan Wang COVID-19 (KWC-19),” kata Tengku Zafrul.

Beliau berkata kesinambungan PPN akan diadun dan disusuli dengan usaha pemulihan dan pemerkasaan melalui Belanjawan 2022 dan Rancangan Malaysia Ke-12, yang bakal dibentangkan dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

“Kerajaan akui walaupun telah melaksanakan lebih 450 program dan inisiatif melalui semua pakej bantuan, masih terdapat ruang untuk penambahbaikan.

“Memandang ke hadapan, kami akan meneliti segala maklum balas, tuntutan dan permohonan yang diterima untuk dipertimbangkan, lebih-lebih lagi dalam merangka Belanjawan 2022 nanti,” katanya.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata anggaran rasmi KDNK 2021 akan diumumkan pada Ogos bersama laporan suku kedua.

Arkib Petikan Akhbar

Logo Accessibility