Select your language
KUALA LUMPUR, 29 Okt – Kerajaan berhasrat memperkenalkan Akta Tanggungjawab Fiskal pada 2022 dengan tujuan meningkatkan tadbir urus, akauntabiliti dan ketelusan dalam pengurusan fiskal negara bagi memastikan kemampanan fiskal dan menyokong kestabilan ekonomi makro.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata Kertas Konsultasi Awam berkenaan akta tersebut telah diterbitkan dan semua maklum balas konstruktif akan dipertimbangkan untuk menambah baik draf yang sedang disediakan.
“Kerajaan telah menangani krisis pandemik COVID-19 dalam keadaan ruang fiskal yang sempit memandangkan ekonomi masih belum pulih sepenuhnya dan kutipan hasil yang terjejas
“Bagi 2022, iaitu tahun pemulihan ekonomi, reformasi dan pengukuhan fiskal akan dimulakan bagi membina semula benteng ketahanan fiskal negara dalam menghadapi cabaran di masa hadapan,” katanya semasa membentangkan Bajet 2022 bertemakan ‘Bajet 2022: Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera’ di Dewan Rakyat, hari ini.
Bajet itu mendukung tiga paksi utama iaitu memperkukuh pemulihan, membina daya tahan dan memacu pembaharuan.
Selain itu, Tengku Zafrul berkata kerajaan juga sedang melaksanakan ‘Public Expenditure Review’ (Semakan Perbelanjaan Awam) dengan kerjasama Bank Dunia bagi memastikan kecekapan dan keberkesanan perbelanjaan awam tanpa menjejaskan sistem penyampaian awam.
Justeru, produktiviti perbelanjaan awam dapat ditingkatkan bagi memastikan nilai faedah terbaik bagi setiap ringgit duit rakyat, katanya.