Select your language
KUALA LUMPUR, 29 Okt – Kerajaan akan menerbitkan Penyata Perbelanjaan Cukai dalam usaha meningkatkan disiplin fiskal dan ketelusan serta melengkapi program Strategi Hasil Jangka Sederhana selain kajian insentif cukai yang sedang diusahakan.
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata ini penting dalam menentukan kos yang ditanggung kerajaan berhubung pemberian insentif cukai, pengecualian secara sekali saahaja dan penetapan dasar cukai lain.
Beliau berkata sebagai inisiatif dalam langkah kemampanan hasil dan selaras dengan amalan di peringkat antarabangsa, kerajaan bercadang menaikkan kadar duti setem nota kontrak kepada 0.15 peratus daripada 0.10 peratus dan memansuhkan had duti setem RM200 bagi setiap nota kontrak.
“Pada masa yang sama, aktiviti pembrokeran dagangan saham tersenarai tidak lagi dikenakan cukai perkhidmatan,” katanya ketika membentangkan Bajet 2022 bertemakan ‘Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera’ di Dewan Rakyat, hari ini.
Bajet itu mendukung tiga paksi utama iaitu memperkukuh pemulihan, membina daya tahan dan memacu pembaharuan.
Beliau berkata cukai pendapatan juga akan dikenakan kepada pemastautin di Malaysia ke atas pendapatan yang terbit daripada sumber luar negara dan diterima di Malaysia mulai 1 Jan, 2022.
Tengku Zafrul berkata cukai jualan turut akan dikenakan ke atas barang bernilai rendah dari luar negara yang dijual oleh peniaga dalam talian dan dihantar kepada pengguna Malaysia melalui perkhidmatan kurier udara.
Beliau berkata cukai perkhidmatan akan dikenakan ke atas perkhidmatan penghantaran barang yang disediakan oleh penyedia perkhidmatan termasuk paltform e-dagang kecuali penghantaran makanan dan minuman serta perkhidmatan logistik.
“Program Khas Pengakuan Sukarela Jabatan Kastam Diraja Malaysia akan diperkenalkan secara berfasa dengan insentif remisi penalti sebanyak 100 peratus bagi fasa pertama dan 50 peratus bagi fasa kedua, manakala remisi cukai akan dipertimbangkan bagi kes tertentu,” katanya.
Beliau berkata Sijil Pematuhan Cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri akan dijadikan sebahagian prasyarat untuk syarikat menyertai perolehan kerjaan bermula 1 Jan, 2023 manakala penggunaan nombor pengenalan cukai (TIN) akan dilaksanakan mulai 2022 bagi memperluas asas cukai pendpatan.