Pilih bahasa anda
KUALA LUMPUR, 18 Feb – Kerajaan meluluskan 6,613 permohonan melibatkan peruntukan sebanyak RM1.245 bilion di bawah skim pembiayaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) setakat 5 Feb, 2021, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Skim Pembiayaan PKS PENJANA dengan peruntukan sebanyak RM2 bilion itu mengutamakan PKS yang belum pernah mendapat pinjaman daripada bank sebelum ini.
Beliau berkata, bagi Pembiayaan Sektor Pelancongan PENJANA dengan peruntukan sebanyak RM1 bilion kepada PKS dan PKS mikro yang masih terkesan dengan COVID-19, setakat 5 Feb terdapat 579 permohonan bagi pembiayaan ini.
Daripada jumlah ini, katanya, sebanyak 282 permohonan telah diluluskan dengan jumlah pembiayaan sebanyak RM57.1 juta berbanding 277 permohonan dengan nilai RM55.4 juta pada minggu sebelumnya.
“Pembiayaan Mikro Kredit PENJANA di bawah Bank Simpanan Nasional sebanyak RM363.4 juta telah disalurkan bagi memanfaatkan 10,774 PKS Mikro termasuk dalam bidang peruncitan dan perkhidmatan,” katanya semasa membentangkan laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) ke-41, hari ini.
Bagi Bumiputera Relief Financing (BRF) dengan jumlah peruntukan sebanyak RM200 juta oleh Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB), setakat 5 Feb, dana ini telah disalurkan kepada 548 PKS melibatkan jumlah RM153.0 juta berbanding 519 PKS dengan jumlah RM143.8 juta pada minggu sebelumnya,
Bantuan dana khas ini adalah untuk PKS Bumiputera yang terkesan oleh COVID-19, dengan pembiayaan antara RM100,000 dan RM1 juta bagi PKS terlibat.
Mengenai objektif ketiga PENJANA untuk merangsang ekonomi, Tengku Zafrul berkata jaminan makanan amat dititikberatkan dalam PENJANA dan juga Belanjawan 2021.
Beliau berkata kerajaan memperuntukkan RM400 juta sebagai menyokong industri pertanian dan makanan, bagi petani, peladang dan nelayan, yang mana RM350 juta diperuntukkan di bawah Skim Pembiayaan Mikrokredit Agrobank.
“Setakat 5 Feb, sebanyak RM85.6 juta telah disalurkan di bawah skim ini bagi memanfaatkan 7,723 PKS Mikro pertanian berbanding 7,012 PKS Mikro pertanian dengan jumlah RM74.5 juta pada minggu sebelumnya,” katanya.
Seperti yang diumumkan, kerajaan juga bersetuju melanjutkan pelepasan cukai jualan bagi kenderaan penumpang sehingga 30 Jun, 2021,sebagai langkah untuk terus merancakkan sektor automotif dan aktiviti ekonomi negara.
“Insentif cukai jualan ini merangkumi pelepasan 100 peratus bagi kereta pemasangan tempatan (CKD) dan pengurangan 50 peratus bagi model import sepenuhnya (CBU). Setakat 5 Feb, nilai pelepasan cukai jualan yang telah dimanfaatkan berjumlah RM232.96 juta berbanding RM201.51 juta pada minggu sebelumnya,” kata Tengku Zafrul.