KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- Kerajaan akan memperluaskan potongan cukai ke atas perbelanjaan penyenaraian meliputi syarikat berasaskan teknologi di Pasaran Utama Bursa Malaysia.
Selain itu, kerajaan turut melanjutkan potongan cukai sehingga RM1.5 juta ke atas perbelanjaan penyenaraian syarikat di Pasaran ACE dan Platform Pemecut Usahawan Utama (LEAP) sehingga tahun taksiran 2025, umum Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Bagi menyokong pembangunan syarikat tempatan berasaskan teknologi yang berjaya, kerajaan akan menyediakan RM100 juta ringgit di bawah Dana Pelaburan Strategik Tempatan.
Beliau berkata demikian semasa membentangkan Bajet 2023 bertemakan ‘Keluarga Malaysia, Makmur Bersama' di Dewan Rakyat, hari ini.