Select your language
KUALA LUMPUR, 27 Mei – Kerajaan telah menyemak sasaran defisit kepada enam peratus daripada 5.4 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) bagi 2021 setelah mengambil kira langkah pakej rangsangan ekonomi 2020 yang masih berterusan, serta pakej bantuan PERMAI dan PEMERKASA yang diumumkan pada suku pertama tahun ini.
Sehubungan itu, hutang berkanun Kerajaan Persekutuan dianggarkan meningkat daripada 58 peratus pada 2020, kepada 58.5 peratus pada akhir 2021.
“Ini kekal di bawah had statutori hutang sebanyak 60 peratus daripada KDNK yang telah diluluskan oleh Parlimen pada Ogos 2020.
“Profil hutang negara kekal teguh dengan lebih dari 90 peratus hutang Kerajaan diterbitkan dalam Ringgit, disokong oleh ketersediaan kecairan domestik yang banyak, serta pinjaman dengan tempoh matang yang panjang yang menyokong fleksibiliti pembiayaan,” kata Kementerian Kewangan (MoF) dalam satu kenyataan selepas mesyuarat Jawatankuasa Dasar Fiskal yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.
Jawatankuasa itu antara lainnya turut membincangkan tentang inisiatif pembaharuan termasuk rangka kerja Akta Tanggungjawab Fiskal sebagai salah satu langkah untuk meningkatkan pengurusan, tadbir urus dan akauntabiliti bagi memperkukuhkan kewangan negara.
“Buat masa ini, keutamaan Kerajaan adalah untuk melindungi nyawa rakyat daripada ancaman pandemik COVID-19 serta meneruskan agenda pemulihan ekonomi yang berteraskan prinsip pengurusan kewangan yang berhemat,” katanya.
Langkah konsolidasi fiskal akan dilaksanakan secara berperingkat dalam jangka masa sederhana hingga panjang, setelah ekonomi negara kembali pulih dan berada di landasan pertumbuhan.
“Strategi ini akan memastikan negara memenuhi kedua-dua keperluan fiskal jangka pendek, serta mencapai kemampanan fiskal dan ekonomi jangka panjang, antara lainnya, dengan memacu pelaburan berkualiti tinggi dan mempelbagaikan asas hasil Kerajaan.
“Kerajaan yakin strategi fiskal ini akan memastikan prospek pertumbuhan ekonomi kekal teguh dalam jangka masa sederhana hingga panjang, bagi mencapai agenda pembangunan negara dan Wawasan Kemakmuran Bersama,” kata kementerian itu.
Jawatankuasa tersebut membincangkan tentang kedudukan semasa dan jangka masa sederhana fiskal Kerajaan Persekutuan serta inisiatif pembaharuan kewangan awam.
Mesyuarat Jawatankuasa berkenaan turut dianggotai oleh Menteri Kewangan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Ketua Setiausaha Negara, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri dan Gabenor Bank Negara Malaysia.
Secara umumnya, ekonomi dan perdagangan global dijangka bertambah baik pada 2021, seiring dengan pemulihan di negara-negara maju.
Pertumbuhan dijangka disokong oleh langkah fiskal tambahan yang dilaksanakan di beberapa ekonomi utama, terutamanya Amerika Syarikat, serta pembekalan dan pemberian vaksin yang mula dipercepatkan di seluruh dunia.
Indeks Kedudukan Perniagaan (BCI) bagi kebanyakan ekonomi utama juga mula menunjukkan tren pemulihan, mencerminkan peningkatan keyakinan terhadap prestasi perniagaan yang lebih teguh dalam jangka masa terdekat.
Kesan limpahan luaran daripada pemulihan permintaan global, termasuklah aktiviti perdagangan yang terus meningkat telah menyumbang kepada pemulihan ekonomi negara.
Ini dibuktikan menerusi prestasi KDNK suku pertama 2021 (S1 2021) yang menguncup jauh lebih kecil pada kadar 0.5 dari tahun-ke tahun berbanding penguncupan 3.4 peratus pada suku keempat 2020. Ini juga disumbang oleh pemulihan pertumbuhan KDNK pada Mac 2021 yang meningkat sebanyak 6 peratus dari tahun-ke-tahun, kadar tertinggi sejak 12 bulan yang lalu.
“Namun, Kerajaan sentiasa berwaspada terhadap risiko yang disebabkan oleh perubahan dalam persekitaran ekonomi domestik dan global yang boleh mempengaruhi pertumbuhan ekonomi negara. Ini termasuklah pandemik COVID-19 yang berpanjangan kerana varian baharu yang telah tersebar di seluruh dunia; gangguan bekalan vaksin COVID-19 yang boleh menggugat usaha mencapai imuniti kelompok; kejutan bekalan komoditi di dunia dan juga ketidaktentuan pasaran kewangan global,” katanya.
Di dalam negara, pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, langkah pencegahan COVID-19 yang lebih bersasar, serta pakej rangsangan ekonomi dan langkah Belanjawan 2021 yang masih berjalan akan menyokong pertumbuhan ekonomi bagi tahun ini.
Walaupun terdapat risiko yang meningkat susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP 3.0), KDNK bagi 2021 dijangka meningkat antara 6.0 peratus dan 7.5 peratus sejajar dengan unjuran oleh Dana Kewangan Antarabangsa (6.5 peratus), Bank Dunia (6.0 peratus) dan Bank Pembangunan Asia (6.0 peratus).
Kesan PKP 3.0 terhadap pertumbuhan dianggarkan tidak melebihi 1 mata peratusan, berdasarkan strategi yang lebih seimbang di mana hanya sektor kontak fizikal yang intensif dilarang, manakala sektor yang menyumbang lebih dari 90 peratus daripada KDNK dibenarkan beroperasi.
Di samping itu, prestasi ekonomi negara juga akan disokong oleh pertumbuhan ekonomi rakan dagang utama yang menunjukkan pemulihan, seperti Singapura, China dan Amerika Syarikat yang masing-masing berkembang sebanyak 0.2 peratus, 18.3 peratus dan 0.4 peratus pada S1 2021.