KUALA LUMPUR, 13 Okt (Bernama) – Kerajaan akan terus mendukung dasar fiskal yang kukuh bagi menyokong momentum pertumbuhan ekonomi secara mampan serta meningkatkan kesejahteraan rakyat selaras dengan kerangka Ekonomi MADANI.
Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerangka Ekonomi MADANI yang antara lain memberi tumpuan kepada pencapaian daya tahan dan kemampanan fiskal dengan sasaran defisit fiskal sebanyak tiga peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dalam tahun mendatang.
"Aspirasi itu juga bertujuan mentransformasikan ekonomi negara bagi merealisasikan hasrat Malaysia untuk menjadi 30 ekonomi terbesar dalam tempoh 10 tahun," kata beliau dalam prakata Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2024 yang dikeluarkan hari ini.
Menurut Anwar, penyepaduan dasar-dasar menerusi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 dan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK12) akan menggerakkan usaha seluruh jentera kerajaan secara kolektif untuk meletakkan Malaysia sebagai sebuah ekonomi yang disegani dan terkemuka di Asia.
Sementara itu, beliau berkata ekonomi Malaysia menunjukkan keteguhan dan daya tahan yang membanggakan.
Negara mencatatkan pertumbuhan sebanyak 8.7 peratus pada 2022 dan momentum pertumbuhan itu berterusan pada 2023 walaupun pada kadar yang lebih perlahan dengan mencatat pertumbuhan sederhana sebanyak 4.2 peratus pada separuh pertama 2023 disebabkan oleh kelembapan pertumbuhan ekonomi dan perdagangan global.
Perbelanjaan domestik terus memangkin momentum pertumbuhan dengan sokongan asas ekonomi yang kukuh, jelasnya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata tinjauan fiskal akan mengutamakan langkah kitaran balas dalam mendepani cabaran luaran dan menyokong inisiatif bagi menentukan hala tuju baharu ekonomi pada 2024.
Menurutnya, dalam mengharungi cabaran dan peluang ini, kerajaan terus komited untuk mencapai defisit fiskal yang lebih rendah iaitu 4.3 peratus melalui konsolidasi fiskal.
Katanya kerajaan juga komited untuk mendukung prinsip amalan kewangan awam yang bertanggungjawab dan pragmatik dalam memperkukuh semula penampan fiskal serta mengurangkan pendedahan kepada hutang dan liabiliti, dan pada masa yang sama berusaha mencapai pertumbuhan dan pembangunan sosioekonomi.
"Kerajaan akan melaksanakan langkah pembaharuan fiskal yang tegas untuk mengukuhkan pengurusan dan mempelbagaikan sumber hasil, di samping mengurangkan pembaziran dan ketirisan serta mengoptimumkan perbelanjaan," tambahnya.
Menyentuh Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal yang akan berkuat kuasa, Anwar berkata akta itu akan dapat menggiatkan usaha untuk memperkukuh tata kelola, akauntabiliti serta ketelusan dalam pengurusan kewangan awam.
Selain itu, katanya dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu, keperluan mewujudkan strategi kewangan yang teguh dan pengurusan fiskal yang berhemat tidak boleh dipandang remeh.
"Laporan ini menggariskan komitmen kerajaan untuk mengekalkan standard ketelusan dan tata kelola fiskal yang tinggi," katanya.
Tegasnya, laporan yang terkandung di dalam Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2024 dibuat dengan penuh rasa tanggungjawab dan akauntabiliti, selain membentangkan perspektif menyeluruh mengenai pengurusan kewangan awam negara.
"Peri penting untuk saya menegaskan semula komitmen kami terhadap pengukuhan kemampanan fiskal.
"Marilah kita bersama-sama berusaha mendepani cabaran, merebut peluang yang mendatang dan meraikan era pertumbuhan mampan yang memberikan manfaat kepada seluruh rakyat Malaysia seiring dengan visi Malaysia MADANI," tambah beliau.