Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Petikan Akhbar

Laporan prestasi mingguan, bantu laksana pantau perkembangan PRIHATIN, PENJANA

Laporan prestasi mingguan, bantu laksana pantau perkembangan PRIHATIN, PENJANA

KUALA LUMPUR, 11 Jun – Peranan Unit Pelaksanaan Dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) di bawah Kementerian Kewangan dilihat mampu memastikan segala inisiatif Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) sampai kepada kumpulan sasar secara telus.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz yang optimis mengenai perkara itu berkata pihaknya sentiasa memantau perkembangan PENJANA dan PRIHATIN melalui laporan prestasi mingguan yang disediakan LAKSANA.

“LAKSANA akan memantau perkembangan kedua-dua inisiatif. Setiap minggu sejak 10 minggu lepas, kita mengemaskinikan perkembangan pelaksanaan PENJANA dan PRIHATIN.

“Kita ada Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dan hasil. Kita akan buat laporan setiap minggu, seperti subsidi upah, yang kita mahu kekalkan sebanyak mungkin pekerjaan,” katanya selepas menjadi tetamu bagi program Temu Bual Eksklusif: Pemulihan Ekonomi Malaysia Pasca-COVID-19 terbitan Bernama Radio di sini hari ini.

Beliau sebelum ini dipetik sebagai berkata kerajaan tidak mengambil khidmat perunding luar dalam membantu kementerian melaksanakan pakej rangsangan ekonomi.

LAKSANA ditubuhkan pada Mac lepas bagi memastikan semua inisiatif yang diumumkan kerajaan dapat dilaksanakan dengan cepat dan lancar.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata setiap inisiatif perlu dijalankan oleh badan pelaksana secara telus dan integriti.

“Sekiranya kita meneliti aspek pelaksanaan, ketelusan adalah penting kerana ia akan memberi kebertanggungjawapan kepada kementerian dan agensi yang terlibat dalam melaksanakan inisiatif yang diumumkan,” katanya.

Pada 27 Mac, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan PRIHATIN dan kemudiannya membentangkan pula PRIHATIN Tambahan pada 6 April, sebelum PENJANA pada 5 Jun, yang bertujuan merancakkan semula ekonomi negara yang terjejas kesan daripada pandemik COVID-19.

Sebanyak RM250 bilion diperuntukkan menerusi PRIHATIN dan RM10 bilion disediakan dalam PRIHATIN Tambahan manakala RM35 bilion disuntik melalui PENJANA untuk memberi manfaat kepada golongan sasar.

Selain merancakkan ekonomi negara, kedua-dua pelan ekonomi yang keseluruhannya bernilai RM295 bilion itu dilihat lebih efektif dalam usaha menyokong kerajaan memulihkan persekitaran ekonomi negara agar kembali seperti sebelum berlakunya pandemik COVID-19.

Arkib Petikan Akhbar

Logo Accessibility