Select your language
KUALA LUMPUR, 12 Mac (Bernama) − Persidangan Dewan Rakyat dan Dewan Negara bagi Mesyuarat Pertama tahun 2026 yang berakhir hari ini memberi tumpuan kepada pengukuhan daya tahan ekonomi negara, pengurusan fiskal serta langkah kerajaan memantau impak konflik di Asia Barat terhadap ekonomi domestik dan global.
Mesyuarat Pertama Persidangan Dewan Rakyat berlangsung dari 19 Jan hingga 3 Mac 2026, manakala Dewan Negara bersidang dari 19 Feb hingga hari ini.
Sepanjang persidangan itu, Dewan Negara meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Pemberian Mengikut Bilangan Orang 2026 bagi menyemak kadar pemberian tahunan kepada kerajaan negeri berdasarkan struktur bilangan penduduk baharu.
Timbalan Menteri Kewangan Liew Chin Tong berkata pelarasan kadar itu bertujuan memastikan manfaat lebih optimum khususnya kepada negeri yang mempunyai bilangan penduduk kecil serta sumber hasil yang terhad.
Dewan Negara sebelum ini turut meluluskan RUU Perbekalan Tambahan (2025) 2026 yang melibatkan perbelanjaan mengurus tambahan pertama bagi 2025 berjumlah RM8.4 bilion.
Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata keseluruhan peruntukan itu telah dibelanjakan sepenuhnya pada 2025 tanpa menjejaskan sasaran defisit fiskal negara yang kekal pada kadar 3.8 peratus.
Beliau turut menjelaskan bahawa walaupun kenaikan harga minyak mentah dunia meningkatkan hasil negara menerusi dividen dan cukai Petroliam Nasional Bhd (Petronas), keadaan itu pada masa sama menambah beban subsidi bahan api selagi mekanisme penyasaran subsidi belum dilaksanakan sepenuhnya.
Menyentuh prestasi mata wang tempatan, Kementerian Kewangan memaklumkan ringgit terus dipantau rapi oleh Bank Negara Malaysia (BNM) bagi memastikan pelarasan nilai mata wang berlaku secara teratur.