Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Petikan Akhbar

MoF akan bangun dasar sesuai, pembaharuan struktur bagi penduduk menua – Tengku Zafrul

MoF akan bangun dasar sesuai, pembaharuan struktur bagi penduduk menua – Tengku Zafrul

PETALING JAYA, 14 Dis – Kementerian Kewangan sedang menimbang untuk membangunkan dasar yang sesuai dan pembaharuan struktur pada masa depan bagi memastikan ketidakbergantungan penduduk menua dan mewujudkan masyarakat yang lebih inklusif.

Menterinya Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata sehubungan itu Majlis Perlindungan Sosial Malaysia (MySPC) telah diaktifkan semula dan sedang giat menimbang pelbagai pilihan bagi dasar jaminan sosial bersepadu dan menyeluruh.

"Oleh kerana semakin ramai rakyat Malaysia yang akan bersara pada masa depan, kita perlu mengiktiraf kepentingan pesara kita dan sumbangan mereka kepada ekonomi produktif.

"Kita perlu menyedari bahawa penduduk menua yang sihat boleh menyertai dan menyumbang kepada pertumbuhan mampan dan produktif negara,” katanya dalam ucapan beliau pada pelancaran Skim Saraan Bercagar (SSB) Cagamas Bhd, di sini, hari ini.

Seiring dengan pelancaran itu, beliau berkata, kerajaan akan memberikan pengecualian duti setem ke atas dokumen transaksi yang dilaksanakan bagi skim tersebut, bagi tempoh dua tahun pertama selepas ia dilancarkan.

Ini, katanya, akan memantapkan lagi usaha kerajaan dalam menyokong inisiatif sektor swasta seperti SSB.

"Pengecualian ini akan membantu mengurangkan kos bagi peminjam yang akan mendapat manfaat daripada skim ini dan memastikan ia mudah diakses oleh pesara,” katanya.

Tengku Zafrul berkata SSB merupakan sebahagian daripada usaha padu negara untuk menyediakan pelan persaraan yang baik yang akan membolehkan warga emas terus menjalani kehidupan yang produktif pada hari tua mereka.

Beliau berkata pelancaran skim itu penting kerana ia meluaskan pilihan pembiayaan yang tersedia kepada 'Keluarga Malaysia' terutamanya pesara yang kini boleh memanfaatkan nilai ekuiti hartanah mereka dan menukarkannya menjadi pendapatan bulanan tetap sepanjang hidup mereka.

Menurutnya, kerajaan dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah melaksanakan tiga skim pengeluaran bagi meringankan bebanan rakyat akibat pandemik COVID-19 dengan sejumlah RM101 bilion telah dikeluarkan oleh 7.4 juta ahli.

Meskipun ia membantu ahli yang memerlukannya, beliau berkata, skim pengeluaran itu juga mencetuskan kebimbangan berhubung kecukupan pencen pada hari tua.

"Susulan pengeluaran itu, kami mendapati 50 peratus daripada ahli berusia di bawah 55 mempunyai kurang daripada RM10,000 dalam akaun mereka, yang mana 3.6 juta ahli mempunyai kurang daripada satu ribu ringgit. Natijahnya, hampir tiga suku daripada ahli-ahli ini mungkin tidak mempunyai dana mencukupi untuk bersara di atas daripada garis kemiskinan.

"Ini terutamanya membimbangkan bagi ahli Bumiputera, yang menyumbang hampir 80 peratus daripada pemohon yang memohon pengeluaran,” katanya.

Tengku Zafrul berkata sejajar dengan penekanan kerajaan untuk menambah baik jaringan keselamatan sosial rakyat, pelancaran SSB itu tepat pada masanya terutamanya bagi mereka yang pendapatan dan simpanan terkesan akibat daripada pandemik.

"Malah, produk itu boleh berfungsi sebagai talian hayat kewangan untuk membantu mereka menampung kehidupan pada hari tua mereka. Skim ini bukan hanya sekadar produk baharu semata-mata. Ia merupakan suatu peralihan utama dalam usaha kerajaan ke arah menangani isu simpanan persaraan yang tidak mencukupi bagi kumpulan berpendapatan rendah,” katanya.

Arkib Petikan Akhbar

Logo Accessibility