Select your language
KUALA LUMPUR, 29 Okt – Kerajaan bersetuju menaikkan nilai ambang kenaan levi keuntungan luar biasa kelapa sawit bagi Semenanjung Malaysia daripada RM2,500 kepada RM3,000, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Beliau berkata nilai ambang kenaan levi keuntungan luar biasa kelapa sawit bagi Sabah dan Sarawak dinaikkan daripada RM3,000 kepada RM3,500 selain menyelaraskan kadar levi bagi kedua-dua negeri itu kepada tiga peratus seperti mana kadar levi di Semenanjung Malaysia.
“Selanjutnya, bagi menyokong industri kelapa sawit, kerajaan memperuntukkan RM35 juta bagi melaksanakan Skim Rangsangan Tanam Semula Sawit Pekebun Kecil,” katanya ketika membentangkan Bajet 2022 bertemakan ‘Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera’ di Dewan Rakyat, hari ini.
Bajet itu mendukung tiga paksi utama iaitu memperkukuh pemulihan, membina daya tahan dan memacu pembaharuan.
Sebanyak RM332.1 bilion diperuntukkan bagi Bajet 2022, dengan RM233.5 bilion daripada jumlah itu akan disalurkan sebagai perbelanjaan mengurus manakala RM75.6 bilion untuk perbelanjaan pembangunan dan bakinya RM23 bilion kepada Kumpulan Wang COVID-19.
Tengku Zafrul berkata sebanyak RM20 juta juga disediakan untuk usaha menangani kempen antiminyak sawit di peringkat antarabangsa.
Beliau berkata Program Transformasi Perusahaan Getah Negara akan dilaksanakan bertujuan menyatukan pekebun kecil, usahawan getah dan koperasi kecil dalam satu konsortium yang lebih besar agar mampu untuk memproses getah sekerap menjadi bentuk getah krip.
Kerajaan turut memperuntukkan RM2.5 bilion untuk terus memperkasa pembangunan masyarakat luar bandar melalui program pembangunan komoditi.
“Daripada jumlah ini, RM1.3 bilion disalurkan kepada Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) bagi tujuan pakej pemulihan dan pembangunan peneroka, RM495 juta untuk manfaat peserta Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) manakala RM699 juta untuk kemajuan pekebun kecil bagi perusahaan getah di bawah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda),” katanya.