Pilih bahasa anda
KUALA LUMPUR, 28 Jan – Pengesahan penarafan jangka panjang mata wang tempatan dan asing Malaysia pada A3, dengan unjuran yang stabil merupakan bukti disiplin fiskal kerajaan yang teguh dan prospek pertumbuhan jangka sederhana yang kukuh, dalam keadaan langkah-langkah pengekangan jangkitan COVID-19 yang bersungguh-sungguh.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata ini turut menunjukkan keyakinan Moody’s terhadap Malaysia dalam situasi pelarasan penarafan kredit yang belum pernah berlaku sebelum ini di peringkat global, dengan Agensi-agensi Penarafan Kredit (CRA) membuat lebih 220 tindakan penarafan negatif sejak bermulanya pandemik ini.
Beliau berkata kerajaan tetap komited ke arah pengukuhan jangka sederhana serta memastikan kemampanan fiskal negara.
“Sejak dekad yang lepas, kita berjaya mengurangkan defisit fiskal daripada 6.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kepada 3.4 peratus. Melalui usaha mengutamakan semula perbelanjaan yang bijak, defisit fiskal Malaysia pada 2020 dijangka menjadi antara yang terendah dalam kategori A, satu pencapaian luar biasa dalam persekitaran semasa yang amat mencabar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kerajaan menyasar untuk mengurangkan sasaran defisit daripada 6.0 peratus daripada KDNK pada 2020 kepada 5.4 peratus daripada KDNK 2021 dan seterusnya kepada purata 4.5 peratus dalam jangka sederhana.