Select your language
KUALA LUMPUR, 25 Nov – Pengiktirafan Malaysia pada kedudukan pertama dalam Indikator Pembangunan Kewangan Islam (IFDI) 2021 amat penting kerana memaparkan kekukuhan industri kewangan Islam negara walaupun berdepan cabaran COVID-19 bagi sebahagian besar 2020.
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata Malaysia mengekalkan kedudukan pertama dalam IFDI 2021 selama dua tahun berturut-turut dan menerajui senarai bagi indikator Pengetahuan, Pembangunan Kuantitatif, Tadbir Urus dan Kesedaran.
Menurutnya pelaksanaan Pengantaraan Berasaskan Nilai (VBI) oleh bank-bank Islam Malaysia sejak 2017 dan terbaharu melibatkan pengendali takaful, menggambarkan usaha strategik industri kewangan Islam bagi menghasilkan impak positif dan mampan.
"Momentum positif dalam industri perbankan Islam sejak penerbitan kertas strategi berkaitan pada 2017 telah menyaksikan pengantaraan urus niaga berkaitan VBI bernilai lebih US$38.6 bilion setakat Disember 2020.
"Di samping itu, industri perbankan Islam Malaysia juga telah menyokong 4,500 projek tenaga boleh baharu dan hijau bernilai lebih US$2.2 bilion," katanya dalam laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) ke-77 yang dikeluarkan hari ini.
Mengenai Program Insentif Pengambilan Pekerja (PenjanaKerjaya), Tengku Zafrul berkata sebanyak RM1.22 bilion telah disalurkan kepada 37,326 majikan melalui program itu bagi mengekalkan 271,570 pekerja tempatan.
Beliau berkata sejumlah RM639.30 juta, RM544.99 juta dan RM38.10 juta berjaya disalurkan melalui PenjanaKerjaya 1.0, 2.0 dan 3.0 sehingga 3 November dengan masing-masing memanfaatkan 15,097 majikan (116,316 pekerja), 16,625 majikan (138,298 pekerja) dan 5,604 majikan (16,956 pekerja).
Katanya, sehingga 12 November, RM12.59 bilion permohonan telah diluluskan oleh bank-bank tempatan dan disetuju terima oleh 26,369 Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di bawah Dana Pinjaman Mudah PKS yang dikendalikan Bank Negara Malaysia (BNM).
Menurutnya sebanyak RM124.88 juta telah disalurkan kepada 45,333 PKS dalam bentuk geran padanan di bawah Bank Simpanan Nasional (BSN), manakala RM20.61 juta disalurkan kepada 887 PKS mikro Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India (SPUMI) melalui TEKUN Nasional, setakat 12 November.
Beliau berkata, sehingga 12 November, sebanyak 87 syarikat telah memohon Skim Jaminan Prihatin DanaJamin (DPGS) dengan jumlah jaminan yang telah diluluskan sebanyak RM2.04 bilion bagi 57 syarikat, manakala RM88.6 juta disalurkan kepada 13,889 perniagaan dalam bentuk geran dan pinjaman untuk langganan perkhidmatan digitalisasi.