PUTRAJAYA, 26 Jan (Bernama) – Penjawat awam sedia ada yang memilih skim pencen tidak akan terkesan dengan sistem saraan perkhidmatan awam yang akan dimuktamadkan, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Pada sidang media pertamanya di sini hari ini, beliau berkata kerajaan komited untuk memastikan kebajikan dan kesejahteraan penjawat awam dan pesara sentiasa terbela.
“Saya ingin menekankan dari segi pencen kerajaan tidak berhasrat untuk mengubah (skim pencen) kepada mereka yang dah ada, jadi kalau penjawat awam itu dah bekerja dengan kerajaan tiada apa akan bertukar, (cuma) untuk mereka yang baru masuk, dia akan masuk secara kontrak buat masa sekarang.
“Siapa yang sudah ada dalam sistem sekarang kita tidak (akan) ubah, itu janji kita,” katanya.
Turut hadir Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan (MOF) Datuk Johan Mahmood Merican.
Amir Hamzah, yang dilantik menyertai Kabinet pada 12 Dis lepas susulan rombakan Kabinet oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata tahun ini kerajaan memperuntukkan RM31 bilion untuk pembayaran pencen kepada pesara dan angka itu dijangka meningkat ke RM120 bilion pada 2040.
Beliau turut menarik perhatian bahawa dari segi pengurusan kewangan negara, 48 peratus belanjawan negara disalurkan kepada emolumen dan pencen.
“Jika dapat ringankan beban (kerajaan) yang ada, kita boleh salur lebihan itu ke bahagian lain yang penting untuk rakyat dan negara seperti pendidikan serta kemudahan infrastruktur yang lebih baik,” katanya.
Amir Hamzah berkata kerajaan memahami peranan penjawat awam dalam pentadbiran negara adalah penting dan justeru itu, komited untuk menambah baik kebajikan mereka antaranya pembayaran bonus RM2,000 pada bulan depan serta peruntukan RM2.4 bilion untuk membina, menyelenggara dan membaik pulih kuarters penjawat awam, guru, hospital, anggota polis, tentera dan bomba.
“Kerajaan juga akan memuktamadkan pelarasan gaji penjawat awam tahun ini selepas kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).
“Secara keseluruhan, kerajaan peka dan akan buat (perkara) yang penting untuk kebaikan penjawat awam,” katanya.
Selasa lepas, Jabatan Perkhidmatan Awam dalam pekeliling bertarikh 15 Jan menyatakan bahawa suatu kaedah baharu bagi lantikan tetap pegawai awam diperkenal ke arah mengukuhkan lagi sistem saraan perkhidmatan itu di Malaysia.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dalam pekeliling itu memaklumkan susulan penetapan kaedah lantikan tetap baharu itu, Jemaah Menteri juga telah bersetuju supaya dalam tempoh peralihan (interim) sebelum penguatkuasaan kaedah itu, pengambilan pegawai awam ke perjawatan tetap akan dilaksanakan secara lantikan kontrak (COS) berkuat kuasa tahun ini.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pula dilapor berkata pengambilan penjawat awam baharu secara kontrak dilakukan untuk tempoh singkat sebelum Kabinet meluluskan dasar baharu pengambilan secara tetap tetapi tidak berpencen.