Datuk Seri Ahmad Maslan
KUALA LUMPUR, 19 Mei (Bernama) -- Kerajaan yakin projek penyelidikan yang menerima geran Koordinator Penyelidikan Harta Tanah Negara (NAPREC) akan memberi sumbangan kepada perkembangan landskap harta tanah Malaysia.
Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata hasil kajian ini akan menghasilkan pandangan berharga, penyelesaian inovatif dan cadangan praktikal yang akan membentuk masa depan industri harta tanah negara.
“Saya membayangkan pada masa hadapan, penyelidikan akan menjadi sebahagian elemen penting dalam ekosistem harta tanah, apabila keputusan dibuat berasaskan bukti dan strategi yang dirangka berdasarkan data bagi memacu pembangunan negara MADANI,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada majlis penyerahan replika cek NAPREC bagi 15 projek penyelidikan baharu, di Kajang, dekat sini pada Jumaat.
Justeru, beliau menyarankan semua penyelidik saling bekerjasama dengan pakar industri dan pihak berkepentingan bagi memupuk komuniti penyelidikan yang bertenaga.
“Berkongsi hasil kajian, bertukar pendapat dan membina rangkaian tidak hanya akan meningkatkan kualiti penyelidikan, malah juga membuka jalan bagi kemajuan kolektif dan kerjasama dalam mencapai matlamat yang sama,” katanya.
Ahmad berkata sebagai tanda sokongan kepada penyelidikan harta tanah negara, Kementerian Kewangan sentiasa komited menyediakan sumber dengan memperuntukkan dana, geran dan mekanisme sokongan bagi memastikan kajian yang dijalankan dapat menghasilkan impak yang berkekalan.
Beliau berkata sejak penubuhan NAPREC pada 2002, 11 projek penyelidikan telah ditaja menggunakan dana yang diperuntukkan dalam Rancangan Malaysia Kelapan (RMKe-8) berjumlah RM3.3 juta.
Bagi RMKe-12, sebanyak RM4 juta dana NAPREC telah diluluskan dengan 24 projek telah disiapkan sepenuhnya di bawah Fasa Satu 2023, katanya.
Beliau berkata manakala bagi Fasa Dua, sebanyak 15 projek baharu telah berjaya dipilih daripada 85 permohonan yang diterima dan semua projek itu dijangka siap pada 2024.
“Sehingga RMKe-12, NAPREC telah membiayai 143 projek penyelidikan berkaitan harta tanah dengan jumlah keseluruhan dana diperuntukkan sebanyak hampir RM20 juta.
Institut Penilaian Negara (INSPEN) Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta sebagai koodinator kebangsaan dalam penyelidikan harta tanah bertindak sebagai penyelaras dan pengurus dana NAPREC.