Timbalan Menteri Kewangan II Steven Sim Chee Keong
KUALA LUMPUR, 18 Mei (Bernama) -- Perbelanjaan untuk aktiviti produktif akan menjana lebih banyak pertumbuhan bagi negara kerana ia akan menggandakan hasil, seterusnya kerajaan akan dapat membayar hutangnya, kata Timbalan Menteri Kewangan II Steven Sim Chee Keong.
Bagaimanapun, kebimbangan mengenai hutang tinggi sehingga mencecah RM1.4 trilion setakat tahun lepas termasuk liabiliti adalah penting, katanya. Orang ramai juga mesti bertanya dua soalan lain, "Hutang itu untuk apa dan adakah negara mampu membayar hutang tersebut," katanya.
"Mengetahui betapa besarnya hutang tanpa bertanya dua soalan berkenaan hanya mencerminkan sebahagian kisah sebenar.
"Pastinya terdapat perbezaan besar antara kerajaan yang mengambil hutang untuk membiayai pembangunan, membina sekolah, meningkatkan penjagaan kesihatan dan persekitaran pelaburan berbanding kerajaan yang berhutang untuk menanggung bil rasuah, ketirisan serta pembaziran," katanya ketika berucap pada Forum Ekonomi Negara 2023 di sini hari ini.
Beliau berkata kerajaan komited untuk mengurangkan pendedahan hutang serta liabiliti.
Jelas Sim lagi, walaupun membentangkan belanjawan terbesar secara nominal pada RM388.1 bilion tahun ini, perbelanjaan kerajaan adalah lebih strategik dan berdisiplin, yang mana pada ketika itu, defisit belanjawan akan dikurangkan daripada 5.6 kepada 5.0 peratus.
Perbelanjaan pembangunan yang besar itu bukan ditumpukan kepada projek mega gajah putih tetapi kepada infrastruktur strategik seperti pendidikan, penjagaan kesihatan, pengangkutan dan perdagangan.
"Pada suku pertama tahun ini, jumlah hutang Kerajaan Persekutuan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) setakat akhir Mac 2023 berada pada 59.3 peratus, manakala paras hutang statutori mencatatkan 56.9 peratus daripada KDNK, jauh di bawah had statutori 65 peratus. (2022: 57.6 peratus daripada KDNK).
"Adalah menjadi matlamat kami untuk mengurangkan defisit bajet kepada 3.6 peratus dalam tempoh dua tahun akan datang, dan dengan rancangan kerajaan bagi mengurangkan pinjaman sekurang-kurangnya 10 peratus setiap tahun berbanding tahun sebelumnya, kami berharap untuk mencapai tahap hutang statutori kepada KDNK sebelum krisis di bawah 55 peratus dalam masa tujuh tahun menjelang 2030, " kata beliau.
Sementara itu, beliau berkata kerajaan akan terus mengkaji dan menambah baik pentadbiran cukai, dengan Nombor Pengenalan Cukai (TIN) yang diberikan secara automatik telah diperkenalkan pada 2022 bagi memastikan liputan yang lebih meluas selain mencegah ketirisan dalam kutipan.
Katanya, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) juga akan melaksanakan sistem e-invois dalam memastikan pengurusan cukai yang lebih cekap dan meningkatkan pematuhan cukai.
"Saya tahu pegawai percukaian bukanlah individu yang dialu-alukan oleh semua pihak tetapi saya beri jaminan bahawa kami akan bertindak tegas terhadap pengelakan cukai, tidak kira sama ada anda adalah oang besar atau biasa, tidak akan wujud standard berbeza. Kami akan mengejar anda tetapi LHDN telah mengambil pendekatan Madani kepada pembayar cukai.
"CEO (Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) LHDN) memanggilnya AES - Kesedaran, Pendidikan dan Perkhidmatan. Dalam erti kata lain, kami mahu memastikan pematuhan bukan dengan kekerasan tetapi dengan membimbing serta membantu pembayar cukai melaksanakan tanggungjawab mereka kepada negara," katanya.