Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Petikan Akhbar

PERKESO luluskan RM8.97 bln di bawah program subsidi upah – Tengku Zafrul

PERKESO luluskan RM8.97 bln di bawah program subsidi upah – Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR, 4 Ogos – Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) telah meluluskan sebanyak RM8.97 bilion di bawah Program Subsidi Upah sehingga Julai 24, 2020 yang memanfaatkan lebih 2.58 juta pekerja, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata program seumpama ini akan dapat terus membantu majikan dan pekerja yang terkesan akibat COVID-19.

“PERKESO juga telah memuat naik nama-nama majikan yang telah menerima bantuan program ini.

“Tindakan ini diambil berikutan aduan diterima daripada orang ramai bahawa terdapat segelintir majikan yang mengambil subsidi tetapi masih memberhentikan atau memotong gaji pekerja tanpa persetujuan mereka,” katanya dalam Laporan Laksana Ke-15, Pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) & Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).

Sementara itu, mengulas mengenai Moratorium Bayaran Balik Pinjaman Institusi Kewangan yang berkuat kuasa pada 1 April lalu, Tengku Zafrul berkata nilai moratorium berkenaan dianggarkan berjumlah RM62.8 bilion sehingga 24 Julai, 2020.

Daripada angka ini, beliau memaklumkan sebanyak RM21.9 bilion adalah jumlah yang dimanfaatkan oleh sektor perniagaan manakala jumlah yang dimanfaatkan oleh rakyat adalah sebanyak RM40.8 bilion.

Dalam pada itu, Lanjutan Moratorium dan Bantuan Bank Bersasar telah diumumkan pada 29 Julai, 2020, yang fokusnya khusus untuk golongan yang benar-benar memerlukan, iaitu individu yang kehilangan pekerjaan pada tahun 2020 dan masih belum mendapat pekerjaan baharu serta individu yang masih bekerja tetapi gaji mereka terjejas atau berkurangan akibat COVID-19.

Tengku Zafrul berharap langkah ini dapat membantu individu yang masih terkesan untuk keluar dari krisis kewangan, menyokong perniagaan yang terjejas untuk meneruskan operasi dan seterusnya melonjakkan semula ekonomi negara.

Seterusnya, mengenai Bantuan Sara Hidup (BSH 2020), beliau berkata pembayaran fasa ketiga sudah dilaksanakan mulai 24 Julai dan sehingga 31 Julai, seramai 4.13 juta penerima telah berjaya dikreditkan ke dalam akaun bank melibatkan bayaran RM2.7 bilion.

Tempoh permohonan rayuan untuk BSH pula akan dibuka mulai 7 Ogos hingga 6 September, yang boleh dibuat secara dalam talian di portal BSH atau boleh hadir di mana-mana Cawangan LHDNM/ Pusat Khidmat Hasil dan Pusat Transformasi Bandar. Sila sertakan dokumen yang berkaitan untuk diverifikasi semula oleh LHDNM.

Tengku Zafrul turut mengulas mengenai pencapaian bantuan di bawah PENJANA, yang mana inisiatifnya terbahagi kepada tiga matlamat iaitu memperkasakan rakyat; melonjakkan perniagaan; dan merangsang ekonomi.

Beliau menjelaskan langkah di bawah matlamat pertama PENJANA iaitu Memperkasakan Rakyat merangkumi bantuan dalam bentuk diskaun, bantuan one-off dan inisiatif-inisiatif yang memberi fokus kepada memelihara pekerjaan dan meningkatkan daya saing.

Sebagai contoh, di bawah program My30, sehingga 24 Julai, sebanyak 179,349 pas telah dijual, yang mana subsidi kerajaan bagi pas-pas berkenaan bernilai RM30.5 juta.

Di bawah matlamat kedua PENJANA pula iaitu Melonjakkan Perniagaan, beliau berkata Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengumumkan skim Pembiayaan Pelancongan PENJANA (Penjana Tourism Fund - PTF) pada 30 Julai 2020 yang bernilai RM1 bilion.

“Skim ini menawarkan pembiayaan sehingga RM75,000 kepada setiap perusahaan mikro, dan sehingga RM300,000 kepada PKS yang layak. Maklumat lanjut boleh diperolehi daripada penjana.treasury.gov.my.,” katanya.

Sementara itu, di bawah PENJANA matlamat tiga iaitu merangsang ekonomi, bermula 31 Julai, kerajaan telah melancarkan inisiatif ePENJANA bagi tujuan merangsang ekonomi yang mana sehingga 2 Ogos, lebih daripada 4.5 juta rakyat telah berjaya menerima RM50 dalam e-Dompet mereka.

“Sejak ePENJANA diumumkan, bilangan pengguna MySejahtera yang berdaftar telah meningkat lebih daripada 2 juta kepada 9.4 juta pengguna,” jelas beliau.

Tengku Zafrul turut menyentuh mengenai Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan pada 6 Nov, 2020.

Beliau berkata belanjawan kali ini akan tertumpu kepada usaha merancakkan semula ekonomi selain memulihkan keyakinan pelabur dan pengguna.

Tengku Zafrul berkata belanjawan ini akan berlandaskan empat tema utama iaitu menjaga kebajikan rakyat, memacu pertumbuhan ekonomi, melestarikan kehidupan dan memantapkan penyampaian perkhidmatan awam.

“Seperti PENJANA, saya dan pasukan dari Kementerian Kewangan bertindak untuk turun padang. Contohnya, dua minggu lepas kami telah ke Melaka untuk melancarkan Jelajah Belanjawan 2021 yang bertujuan mendapatkan maklumbalas daripada pelbagai industri dalam merangka Bajet 2021,” katanya.

Beliau percaya cara terbaik adalah ‘to go to the ground’ dan mendengar masalah yang dihadapi, memandangkan dunia sedang terkesan dengan pandemik COVID-19.

“Dari situ, kita akan mengkaji setiap cadangan yang diberikan kepada pihak kementerian,” kata Tengku Zafrul.

Arkib Petikan Akhbar

Logo Accessibility