Select your language
KUALA LUMPUR, 21 Dis – Peruntukan perbelanjaan mengurus bagi Orang Asli telah meningkat sebanyak RM49 juta kepada RM162 juta dalam Bajet 2022 berbanding RM113 juta semasa Belanjawan 2020, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Katanya, untuk tempoh lima tahun sebelum kerajaan semasa, peruntukan belanja mengurus atau OE Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) hanya menokok sebanyak RM10 juta iaitu daripada RM103 juta semasa Bajet 2016 kepada RM113 juta pada Belanjawan 2020.
“Dalam bajet pertama saya (2021), OE JAKOA telah ditingkatkan RM10 juta kepada RM123 juta dan seterusnya dinaikkan lagi hampir RM40 juta kepada RM162 juta untuk Bajet 2022,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 (Bajet 2022) bagi kementeriannya pada persidangan Dewan Negara hari ini.
Peningkatan ini antaranya untuk tujuan pengangkutan anak-anak Orang Asli ke sekolah serta kenaikan wang saku murid sekolah menengah daripada RM2 kepada RM4 sehari yang bakal memanfaatkan 16,000 murid Orang Asli.
Beliau juga berkata kerajaan bersetuju memanjangkan Skim Bantuan Geran Pendidikan Orang Asli kepada institut pengajian tinggi GLC seperti Universiti Teknologi Petronas, Universiti Tenaga Nasional dan Universiti Multimedia.
Selain itu, Program Bank Bergerak di Sabah dan Sarawak akan merangkumi Semenanjung Malaysia, khususnya untuk beroperasi di kawasan pendalaman komuniti Orang Asli bagi memudahkan cara penyampaian Bantuan Keluarga Malaysia (BKM).
Menurutnya, kerajaan akan melaksanakan pendaftaran automatik berdasarkan data JAKOA dan komuniti Orang Asli tidak perlu memohon.
"Kerajaan ini sememangnya menitikberatkan keperluan komuniti Orang Asli,” tambah beliau.