Select your language
KUALA LUMPUR, 16 Dis – Jumlah peruntukan perbelanjaan pembangunan bagi projek-projek peringkat negeri meningkat kepada RM30.6 bilion pada 2020 berbanding RM28.9 bilion pada 2010, tidak termasuk jumlah bagi projek yang merentasi pelbagai negeri.
Timbalan Menteri Kewangan II Yamani Hafez Musa berkata Bajet 2022 pula menyediakan peruntukan berjumlah RM48.8 bilion untuk projek peringkat negeri yang merupakan satu peningkatan signifikan selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
“Data perbelanjaan pembangunan bagi setiap negeri dalam tempoh 2010 hingga 2020 secara puratanya menunjukkan arah aliran yang pelbagai berikutan faktor seperti prestasi pelaksanaan projek pembangunan negeri serta penetapan dan kelulusan bilangan projek baharu dalam setiap pelan terbabit. Perbelanjaan itu turut ditentukan oleh keperluan pelaksanaan projek berimpak tinggi serta yang menjadi keperluan segera untuk manfaat rakyat.
“Sebagai contoh projek Lebuhraya Pan Borneo di Sabah dan Sarawak, projek pembinaan Lebuhraya dari Kota Bharu ke Kuala Krai di Kelantan dan Central Spine Road (CSR) di Pahang dan Kelantan serta Landasan Kereta Api berkembar dari Gemas ke Johor Bharu,” katanya di sidang Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Chow Kon Yeow (PH-Tanjong) yang meminta kerajaan memberi senarai peruntukan pembangunan tahunan kepada setiap negeri bagi tempoh 2010 hingga 2020 selain perincian hasil kutipan cukai pendapatan mengikut negeri bagi tempoh sama.
Menjawab pertanyaan mengenai cukai, Yamani Hafez menjelaskan lokasi cawangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang menerima cukai pendapatan individu dan syarikat adalah berbeza dengan tempat aktiviti ekonomi pembayar cukai atau negeri tempat tinggal sebenar pembayar cukai terbabit.
“Oleh itu, kutipan hasil di peringkat negeri tidak menggambarkan bahawa cukai yang dihasilkan adalah daripada sumbangan sebenar aktiviti ekonomi di negeri tersebut. Ini kerana kebanyakkan cukai utama seperti cukai petroleum diambil terus dan rekod di ibu pejabat, bukannya di negeri-negeri,” katanya.
Mengulas soalan tambahan Chow mengenai sama ada kerajaan Persekutuan akan mempertimbang untuk menetapkan dasar kewangan baharu bagi membantu negeri-negeri, beliau berkata perkara itu memerlukan perbincangan lanjut termasuk dikemukakan pada mesyuarat Majlis Kewangan Negara yang akan datang.
“Kita ambil maklum mengenai perkara ini dan boleh diutarakan sendiri oleh YB (Chow) pada mesyuarat itu yang saya percaya pada tahun depan. Ini juga mungkin dapat dibincangkan dengan negeri-negeri dan menteri besar lain agar diwujudkan kaedah baharu supaya keperluan negeri diberi keutamaan oleh kerajaan Persekutuan,” katanya.