Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Petikan Akhbar

Prestasi KDNK bukti keberkesanan dasar kerajaan ketika COVID-19, kata Tengku Zafrul

Prestasi KDNK bukti keberkesanan dasar kerajaan ketika COVID-19, kata Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR, 11 Nov (Bernama) -- Pencapaian keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebanyak 14.2 peratus pada suku ketiga 2022 yang diumumkan hari ini membuktikan bahawa dasar kerajaan sewaktu krisis COVID-19 adalah tepat dan membuahkan hasil, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata, bagi tempoh sembilan bulan pertama 2022, ekonomi negara meningkat 9.3 peratus yang juga pertumbuhan sembilan bulan tertinggi sejak 2000 atau lebih dua dekad lepas.

Malah, beliau menyifatkan pencapaian itu sebagai satu berita baik kerana membuktikan bahawa perniagaan telah berkembang, pekerjaan dapat diwujudkan dan pengangguran berkurangan kepada 3.6 peratus pada September 2022, kadar terendah sejak kemuncak COVID pada Mei 2020 iaitu 5.3 peratus.

“Saya berpuas hati (dengan pencapaian ini) tetapi banyak lagi kerja yang perlu dilakukan untuk membantu ekonomi rakyat. Bukan senang untuk mengurus ekonomi ketika pandemik disebabkan ruang fiskal yang sempit.

“Kita melaksanakan banyak dasar yang tak pernah dibuat oleh mana-mana negara sebelum ini seperti moratorium bersasar dan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

"Alhamdulillah, pencapaian KDNK ini membuktikan banyak keputusan yang dibuat adalah betul," katanya pada sidang media di Kuala Selangor, hari ini.

Terdahulu, Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus mengumumkan ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 14.2 peratus pada suku ketiga 2022, dipacu oleh pengembangan berterusan dalam permintaan domestik, pemulihan kukuh pasaran pekerja, eksport produk elektrikal dan elektronik (E&E) dan bukan E&E yang teguh serta sokongan dasar yang berterusan.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata sewaktu pandemik, pakej rangsangan dan sokongan secara keseluruhannya bernilai RM530 bilion demi membantu rakyat dan perniagaan.

Jumlah tersebut tidak termasuk Bajet 2021 dan 2022 dengan nilai keseluruhannya melebihi RM654 bilion.

Beliau berkata, kerajaan juga perlu bekerja lebih keras untuk memastikan rakyat dapat hidup dengan lebih selesa, terutama berikutan jangkaan ekonomi dunia yang lebih perlahan pada tahun depan.

Sementara itu dalam satu kenyataan berasingan, Kementerian Kewangan (MOF) berkata kadar pengangguran yang berkurangan kepada 3.7 peratus pada suku ketiga 2022 (suku kedua 2021 : 3.9 peratus), dijangka berterusan sehingga akhir tahun ini, selaras dengan pelaksanaan dan penerusan pelbagai program penstabilan pekerjaan serta prospek perniagaan yang lebih baik.

Permintaan domestik juga menunjukkan indikator positif melalui peningkatan nilai jualan sektor pembuatan yang kukuh sebanyak 19.5 peratus kepada RM161.7 bilion serta jualan perdagangan borong dan runcit yang berkembang 23.9 peratus kepada RM134.0 bilion pada September 2022.

MOF berkata, jumlah ketibaan pelancong pula meningkat kepada 3.2 juta bagi tempoh Januari hingga Julai 2022 berbanding 60,000 pada tempoh sama tahun lepas.

Selain itu, kegiatan pelaburan dalam pasaran ekuiti tempatan kekal stabil bagi tempoh suku ketiga 2022 dengan pembelian bersih daripada pelabur runcit tempatan menyumbang sebanyak RM577.9 juta.

“Secara keseluruhannya bagi tempoh Januari-September 2022, pasaran ekuiti tempatan mencatatkan kemasukan aliran dana asing bersih bernilai RM6.6 bilion dengan hampir keseluruhan jumlah pelaburan daripada pelabur institusi asing,” katanya.

Melangkah ke hadapan, MOF berkata prospek ekonomi negara akan turut bergantung kepada perkembangan ekonomi global memandangkan kedudukan Malaysia sebagai sebuah ekonomi terbuka.

“Pelbagai langkah akan diteruskan bagi meningkatkan potensi ekonomi untuk terus menjadikan Malaysia sebuah destinasi pelaburan menarik serta menggalakkan pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan serta inklusif,” kata MOF.

Arkib Petikan Akhbar

Logo Accessibility