Kementerian Kewangan Malaysia (MOF)
KUALA LUMPUR, 8 Sept (Bernama) -- Semua pihak dipelawa memberi maklum balas kepada Kertas Konsultasi Awam (KKA) yang diterbitkan Kementerian Kewangan (MOF) untuk Bajet 2023 bertajuk ‘Inisiatif Rangka Kerja Pembiayaan Bagi Pembangunan Mampan’ pada atau sebelum 22 September ini.
MOF dalam kenyataan hari ini berkata maklum balas itu boleh dicapai melalui pautan https://budget.mof.gov.my/bajet2023/kertaskonsultasi/
Menurutnya maklum balas yang diterima akan digunakan dalam merangka sebuah bajet tahunan yang memenuhi keperluan rakyat serta selaras dengan dasar pembangunan sosioekonomi negara.
MOF berkata, KKA terakhir itu yang diterbitkan selaras dengan proses penyediaan Bajet 2023 antara lain mempunyai objektif untuk memastikan rangka kerja pembiayaan bagi pembangunan mampan yang dibangunkan adalah komprehensif dan praktikal dalam usaha mencapai sasaran pelepasan gas rumah kaca bersih sifar seawal 2050.
“Ini menepati matlamat yang digariskan di dalam Rancangan Malaysia Ke-12 serta memenuhi komitmen negara di peringkat antarabangsa,” menurut MOF.
Secara keseluruhan, sebanyak enam KKA telah diterbitkan kementerian itu sebagai sebahagian daripada usaha keseluruhan MOF untuk menjadikan proses penyediaan bajet tahunan lebih telus dan penglibatan semua pihak secara menyeluruh, katanya.