Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Petikan Akhbar

Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar US

Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar US

KUALA LUMPUR, 11 Jun – Ringgit ditutup dengan meneruskan momentum meningkat berbanding dolar US hari ini susulan prospek suram daripada Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) terhadap ekonomi AS, berikutan harga minyak dunia yang tidak menentu dan kebimbangan mengenai COVID-19, kata peniaga.

Unit tempatan berada pada 4.2430/2500 berbanding dolar US daripada 4.2485/2555 semasa ditutup pada Rabu.

Peniaga berkata walaupun dolar US meningkat semula, sentimen terhadap ringgit kekal kukuh, disokong oleh kenyataan daripada Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz bahawa Malaysia mempunyai mudah tunai yang mencukupi dalam pasaran.

Beliau juga berkata kerajaan tidak menggunakan pinjaman asing untuk membiayai pelaksanaan inisiatifnya, termasuk Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).

Sementara itu, seorang peniaga memberitahu Bernama bahawa pergerakan ringgit bertentangan dengan trend dalam pasaran pertukaran asing dalam persekitaran dolar US yang lemah, berikutan unjuran penurunan daripada Pengerusi Fed AS Jerome Powell mengenai ekonomi AS.

“Powell mengingatkan mengenai pertumbuhan, memberi petunjuk bahawa lebih banyak langkah rangsangan diperlukan untuk pemulihan.

“Ini membimbangkan pelabur, dan ringgit bergerak dalam cara yang berbeza berikutan faktor tempatan menguasai minat untuk mengambil risiko,” katanya kepada Bernama.

Pada akhir mesyuarat selama dua hari semalam, Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan mengunjurkan ekonomi AS akan merosot sebanyak 6.5 peratus pada tahun ini, dan kadar pengangguran kekal sebanyak 9.3 peratus menjelang akhir tahun.

Powell mengunjurkan kadar faedah Fed AS kekal hampir sifar hingga 2022 dan kadar pengangguran sebanyak 5.5 peratus menjelang akhir 2022.

Pada penutup, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0613/0675 daripada 3.0662/0723 pada Rabu dan naik berbanding pound kepada 5.3844/3954 daripada 5.4177/4275 semalam.

Bagaimanapun, mata wang tempatan susut berbanding yen Jepun kepada 3.9665/9742 daripada 3.9565/9641 dan merosot berbanding Euro kepada 4.8294/8382 daripada 4.8259/8342 sebelum ini.

Arkib Petikan Akhbar

Logo Accessibility