Select your language
KUALA LUMPUR, 2 Dis – Kerajaan menyalurkan RM19.453 bilion secara keseluruhannya kepada 357,102 majikan melalui Program Subsidi Upah (PSU) setakat 19 Nov, 2021 bagi mengekalkan penggajian 2.95 juta pekerja tempatan sebagai usaha mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan pekerja warganegara Malaysia.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata menerusi PSU 1.0, sebanyak 322,177 majikan dan 2.64 juta pekerja telah menerima manfaat PSU di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) setakat 19 Nov, di mana permohonan subsidi upah yang diluluskan telah mencapai nilai RM12.95 bilion.
Beliau berkata menerusi PSU 2.0 di bawah Pakej Kita PRIHATIN pula, sejumlah RM1.40 bilion telah disalurkan kepada 81,005 majikan setakat 19 Nov untuk terus beroperasi dan mengekalkan penggajian bagi 715,449 pekerja.
“Di bawah Belanjawan 2021 dengan peruntukan sebanyak RM1.5 bilion, Kerajaan telah melanjutkan pelaksanaan PSU selama tiga bulan lagi dengan lebih bersasar, khususnya bagi sektor pelancongan termasuk sektor peruncitan dengan kadar RM600 sebulan bagi pekerja bergaji RM4,000 dan ke bawah.
“Setakat 19 Nov, 2021, sebanyak RM3.36 bilion telah disalurkan untuk mengekalkan penggajian bagi 1.52 juta pekerja,” katanya dalam laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) ke-78 yang dikeluarkan pada Khamis.
Tengku Zafrul berkata menerusi Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) pula, kerajaan telah melaksanakan PSU 4.0 dengan peruntukan RM3.8 bilion yang dijangka dimanfaatkan oleh 2.5 juta pekerja.
“Setakat 19 Nov, 2021, sebanyak RM1.74 bilion telah disalurkan kepada 134,851 majikan untuk terus beroperasi dan mengekalkan penggajian bagi 1,620,134 pekerja,” katanya.
Beliau berkata melalui PSU 4.0, kerajaan akan menampung sehingga 500 pekerja bagi setiap majikan dengan kadar RM600 setiap pekerja selama tempoh empat bulan, iaitu dua bulan bagi semua sektor dalam fasa kedua Program Pemulihan Negara (PPN) dan dua bulan seterusnya khusus bagi sektor yang berada dalam senarai negatif semasa fasa ketiga.
Sementara itu, lebih 80 peratus daripada RM21.5 bilion kemudahan pengeluaran i-Citra yang diluluskan, telah dikreditkan kepada ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) setakat 12 Nov, membabtikan RM17.5 bilion dan memberi manfaat kepada 5.21 juta pemohon, katanya.