Select your language
KUALA LUMPUR, 15 Dis – Kementerian Kewangan (MOF) sedang dalam perbincangan untuk memperkukuh kerjasama dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam mempergiatkan promosi Skim Jaminan Kredit Perumahan berikutan jumlah penerima manfaat yang masih rendah.
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata pada tahun lepas, kementerian itu meluluskan permohonan 1,819 peminjam melibatkan jumlah jaminan sebanyak RM303 juta.
"Jumlah peminjam menerima manfaat yang dilihat masih rendah ini ialah kerana sebelum ini Syarikat Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) hanya berurusan dengan bank yang menandatangani perjanjian bersama SJKP…SJKP tidak melaksanakan sebarang promosi atau pemasaran secara terus kepada peminjam.
"Melangkah ke hadapan dalam usaha meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap skim ini, Kementerian Kewangan sedang dalam perbincangan untuk memperkukuh kerjasama dengan kementerian relevan seperti KPKT. Kita nak promosi skim ini melalui kempen pemilikan rumah yang sedang dan akan dijalankan mereka," katanya dalam sesi soal jawab pada persidangan Dewan Negara, di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Senator Datuk Razali Idris yang ingin tahu langkah akan diambil untuk memperluas manfaat skim itu yang disasarkan pada 2020 dan 2021 serta jumlah peminjam menerima manfaat dan nilai terlibat.
Tengku Zafrul berkata golongan disasarkan boleh mengemukakan permohonan pembiayaan perumahan di mana-mana bank bekerjasama dengan SJKP yang buat masa ini, 15 bank tempatan terlibat dalam pelaksanaan skim tersebut.
Beliau berkata melalui Bajet 2022, skim jaminan kredit pinjaman perumahan akan diteruskan melalui penyediaan jaminan oleh SJKP sehingga RM2 bilion dan dijangka memanfaatkan sekurang-kurangnya 6,000 kumpulan sasar termasuk golongan muda, pekerja gig dan usahawan mikro bagi membolehkan mereka memiliki kediaman atau rumah sendiri.
"Pada masa yang sama, skim ini juga dijangka membantu untuk meningkatkan prestasi pasaran hartanah tempatan," katanya.
Menurutnya, antara kelonggaran dibenarkan di bawah skim itu ialah pendapatan tidak tetap, pendapatan tetap tetapi rendah atau sederhana dan dokumen penyata pendapatan daripada majikan yang kurang meyakinkan seperti penjaja kecil atau pengusaha mikro.
Menjawab soalan tambahan Senator Datuk Isa Ab Hamid mengenai status Rumah Mesra Rakyat (RMR) di bawah Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), Tengku Zafrul berkata setakat 30 Nov, sebanyak 48,000 unit RMR sudah siap dibina manakala 1,600 permohonan diluluskan.