KUALA LUMPUR, 5 Mac (Bernama) – Penambahbaikan kepada Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) adalah langkah segera yang membolehkan kerajaan fokus kepada pendekatan sedia ada dalam meningkatkan hasil dan kedudukan fiskal negara serta pada masa sama tidak membebankan rakyat, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Katanya beliau yakin dengan menangani ketirisan, SST mampu membantu kerajaan mencapai sasaran yang ditetapkan.
“Yang penting, kita kena tengok kebolehan kerajaan menggunakan instrumen yang ada sekarang, yang mana kita boleh buat pada masa sekarang dengan segera.
“(Pada masa yang sama) kita juga mencari jalan untuk mengurangkan ketirisan dalam sistem yang ada,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (PN-Bukit Gantang) yang ingin tahu sama ada kerajaan akan memperkenalkan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).
Dari segi penyasaran semula subsidi, Amir Hamzah berkata langkah itu adalah antara sasaran paling penting untuk kerajaan pada masa ini dalam mengurangkan ketirisan dan perbelanjaan dalam sistem semasa.
Beliau menjelaskan GST mempunyai asas lebih luas tetapi ia memberi impak langsung kepada rakyat, bertentangan dengan aspirasi kerajaan yang mengambil pendekatan lebih progresif sebagai langkah meningkatkan pendapatan negara antaranya melalui beberapa langkah reformasi percukaian.
Katanya kadar cukai perkhidmatan di bawah sistem SST dinaikkan daripada 6.0 peratus kepada 8.0 peratus kecuali perkhidmatan makanan dan minuman, telekomunikasi dan penyediaan ruang parkir.
“Langkah mengecualikan perkhidmatan makanan dan minuman (daripada kenaikan) adalah bersifat progresif yakni mengurangkan impak kenaikan cukai kepada kos sara hidup rakyat,” katanya.
Amir Hamzah berkata kerajaan juga kini sedang menggubal perundangan baharu untuk melaksanakan Cukai Barangan Bernilai Tinggi pada kadar 5.0 peratus dan 10 peratus.
Katanya cukai ini akan dikenakan berdasarkan nilai ambang tertentu yang ditetapkan bagi setiap barangan yang terlibat dan bersifat progresif kerana dikenakan ke atas mereka yang mampu membeli barangan bernilai tinggi dan tidak membebankan golongan berpendapatan rendah.