KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- Kerajaan akan memperhebatkan tahap kesedaran literasi kewangan dan digital pengguna demi mengurangkan risiko menjadi mangsa penipuan, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Beliau berkata pada masa yang sama, kerajaan akan terus memperkasakan CyberSecurity Malaysia dengan peruntukan RM73 juta untuk mengukuhkan pemantauan.
Katanya peruntukan itu juga untuk pengesanan dan pelaporan ancaman siber termasuk membina keupayaan sistem forensik siber.
“Bagi melindungi pengguna kredit di samping mumupuk pasaran kredit pengguna yang adil dan teratur, kerajaan komited untuk membentangkan Rang Undang-undang Kredit Pengguna pada suku kedua 2023,” katanya ketika membentangkan Bajet 2023 di Parlimen hari ini.
Katanya melalui usaha ini, sebuah pihak berkuasa amalan bebas yang baharu iaitu Lembaga Pemantauan Kredit Pengguna akan ditubuhkan di bawah Kementerian Kewangan bagi mengawal selia semua aktiviti berkaitan kredit pengguna.