Pilih bahasa anda
KUALA LUMPUR, 30 Mac – Kementerian Kewangan (MoF) akan terus bekerjasama dengan semua pihak berkuasa yang berkaitan untuk membangunkan lagi pasaran kewangan Malaysia dan meningkatkan kedudukan Malaysia di persada pelaburan dunia, kata menterinya Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Keputusan yang dibuat oleh FTSE Russell untuk mengekalkan Malaysia dalam Indeks Bon Kerajaan Global (WGBI) merupakan pengiktirafan kepada kekukuhan pasaran bon kerajaan Malaysia serta asas makroekonomi dan daya tahan negara yang baik.
Sebelum ini, Malaysia telah disenaraikan dalam senarai pemantauan WGBI sejak April 2019.
“Melalui kerjasama dengan Bank Negara Malaysia (BNM) dan Persatuan Pasaran Kewangan Malaysia (FMAM), MoF juga aktif dalam pelbagai sesi libat urus dengan pihak berkepentingan untuk menggubal polisi bagi meningkatkan daya saing pasaran kewangan Malaysia disokong oleh tadbir urus dan ketelusan yang lebih baik melalui usaha penyelarasan pematuhan, peraturan dan keperluan operasi bagi pelabur domestik dan asing,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
MoF ingin mengiktiraf usaha sama berterusan semua pihak yang berkaitan terutamanya BNM, Jawatankuasa Pasaran Kewangan (FMC), Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Bursa Malaysia dan FMAM atas usaha sama yang berterusan dalam membangunkan pasaran kewangan Malaysia.
FTSE Russell merupakan penyedia indeks pasaran saham dan perkhidmatan data yang dimiliki sepenuhnya oleh Bursa Saham London.
Sementara itu, WGBI adalah penanda aras merangkumi penerbitan bon kerajaan dari lebih 20 negara utama dalam pelbagai mata wang, yang digunakan secara meluas.
Malaysia merupakan sebahagian daripada WGBI sejak Julai 2007 dan pengekalan Malaysia dalam WGBI adalah bukti keberkesanan pelbagai polisi dan inisiatif yang bertujuan untuk terus meningkatkan aksesibiliti dan kecairan pasaran.
Sejak April 2019, aliran masuk asing terkumpul dalam pasaran bon kerajaan Malaysia berjumlah RM48.6 bilion, dan RM22.7 bilion adalah antara April dan Disember 2019, RM17.2 bilion pada 2020 dan RM8.8 bilion dari Januari hingga Februari tahun ini.
Pemegangan asing dalam bon kerajaan Malaysia juga meningkat kepada 24.7 peratus pada Februari 2021, berbanding 21.9 peratus pada April 2019.
Pada akhir 2020, lebih daripada separuh jumlah pemegangan asing dalam bon kerajaan terdiri daripada pelabur jangka panjang seperti bank pusat dan kerajaan lain pada 31.5 peratus, dana persaraan pada 17.7 peratus dan syarikat insurans pada 2.6 peratus.
Dari segi pelabur domestik, pemegangan dalam bon kerajaan disokong oleh kecairan yang mencukupi daripada institusi perbankan dan pelabur institusi domestik.