Sebanyak 500,257 penempatan pekerjaan dicapai menerusi 27 inisiatif Kerajaan setakat 3 Disember 2021, melangkaui sasaran 500,000 peluang pekerjaan yang ditetapkan semasa #Bajet2021.
Pencapaian tersebut semestinya hasil kerjasama berterusan oleh pelbagai kementerian dan agensi, di bawah seliaan Majlis Pekerjaan Negara (NEC) dan agensi LAKSANA sebagai sekretariat.

Antara inisiatif utama yang merealisasikan pencapaian tersebut adalah Program Insentif Pengambilan Pekerja (Penjana Kerjaya 2.0) yang telah berjaya menempatkan seramai 221,966 orang pekerja, dan MySTEP yang menempatkan seramai 61,328 orang pekerja secara kontrak di sektor awam dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC).

YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Kewangan turut menyatakan bahawa bagi tahun 2022, Kerajaan menyasarkan penempatan 600,000 peluang pekerjaan di bawah inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia (JaminKerja) dengan peruntukan RM4.8 bilion di bawah #Bajet2022. Kerajaan yakin bahawa sasaran sebegini akan dapat dicapai dengan momentum kerja yang berterusan dan juga trend pemulihan ekonomi negara yang positif.