YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Kewangan telah berkesempatan berada di Anugerah Korporat The Edge Malaysia Centurion Club.
Anugerah Korporat The Edge Malaysia Centurion Club tahun ini bukan sahaja mengiktiraf mereka yang telah menunjukkan prestasi yang baik dari pencapaian syarikat tetapi juga mereka yang telah terbukti tabah menghadapi kesukaran khususnya semasa pandemik COVID-19.
Tahniah beliau ucapkan kepada syarikat-syarikat yang berjaya menunjukkan prestasi yang cemerlang dan apa yang paling penting ialah bagaimana kita dapat membina ketahanan perniagaan Malaysia dalam jangka masa panjang.
Bagi Kementerian Kewangan, tindakan segera dalam memacu pembangunan mampan dan membina ekosistem lestari adalah penting untuk membentuk penyelesaian jangka panjang demi kesejahteraan Keluarga Malaysia.
Beliau juga berkesempatan berkongsi dalam majlis tersebut bahawa Kerajaan Malaysia bertekad untuk melaksanakan projek dan program pembangunan yang mengutamakan prinsip ESG sejajar dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, dalam usaha untuk menjadi negara neutral karbon seawal tahun 2050.