Beg fail dokumen Belanjawan 2024 yang digunakan oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan adalah daripada Batik Boutique yang merupakan sebuah perusahaan sosial bermatlamat untuk meningkatkan kemahiran kreatif dan keusahawanan golongan isi rumah berpendapatan rendah.

Beg dokumen yang bermotifkan corak ‘Arabesque’ ini adalah hasil buatan tangan sepenuhnya oleh Encik Khairul Aznan, seorang pengusaha batik tempatan berasal dari Kelantan yang meneruskan legasi batik 3 generasi keluarganya.
Batik Boutique juga merupakan penerima manfaat geran yang disalurkan oleh Kerajaan melalui Yayasan Hasanah. Kerajaan komited untuk terus memperkasa perusahaan sosial bagi memastikan mereka yang terlibat dapat menjana pendapatan secara mampan.