YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Kewangan telah berkesempatan berada bersama-sama para belia di Forum Ekonomi Belia 2022 anjuran Alumni Felo Perdana.

Bagi beliau, para Felo Perdana bukan calang-calang orangnya. Di Kementerian Kewangan, Felo Perdana yang ditempatkan semuanya anak muda yang bersemangat dan penuh dengan pelbagai idea bernas untuk membangunkan negara. Seperti yang pernah beliau sebut sebelum ini, belia adalah kunci kejayaan masa depan negara. Tanpa sumbangan daripada para belia, negara kita tidak akan maju. Dan sumbangan sebegini tidak terhad kepada bidang tertentu sahaja. Para belia boleh menyumbang dalam pelbagai bidang seperti kemasyarakatan, kebajikan dan sukan.

Selain itu, terdapat juga antara belia hari ini yang akan keluar mengundi buat kali pertama tahun ini. Mereka yang akan membentuk landskap politik baharu akan datang. Paling utama, mereka perlu sedar keperluan untuk memilih penggubal dasar yang responsif dan bertanggungjawab, yang dalam masa yang sama mengambil pendekatan reformis demi masa depan negara.

Dari segi pemerkasaan belia pula, beliau turut berkesempatan berkongsi tentang beberapa cadangan Kerajaan di bawah Bajet 2023. Antaranya ialah peruntukan sebanyak RM305 juta khas untuk pinjaman kepada usahawan muda, penyambungan Skim Tekun Belia Mobilepreneurs dengan peruntukan RM10 juta, penerusan inisiatif ePemula dengan peruntukan RM400 juta, serta diskaun sehingga 20 peratus untuk pembayaran semula Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPN).
![]() |
![]() |