Program penunaian Sumbangan Tunai Rahmah (STR) bukan sekadar menyampaikan bantuan tunai, tetapi mencerminkan usaha Kerajaan untuk turun padang menyantuni rakyat dan melihat sendiri wajah penuh harapan yang jarang didengari, tetapi tidak pernah dilupakan.
Pelaksanaan program pada hari kedua di Dewan RPS Betau, Lipis, menyasarkan penerima dalam kalangan masyarakat Orang Asli daripada kawasan Pos Sinderut dan kampung-kampung sekitar. Seramai 445 penerima telah menerima bantuan dengan jumlah penunaian direkodkan berjumlah RM245,450.00. Program ini turut dimeriahkan dengan Program Jualan Rahmah, inisiatif Kerajaan yang menyediakan barangan keperluan pada harga mampu milik untuk rakyat. Penerima boleh berbelanja barangan keperluan tanpa perlu keluar ke kawasan bandar.
Sambutan yang diterima jelas menunjukkan keberkesanan pendekatan ini, bantuan disampaikan terus kepada penerima yang berkelayakan dan senyuman yang terukir menjadi tanda bahawa kehadiran Kerajaan benar-benar dirasai. Di sebalik wajah itu, tersirat kelegaan yang sukar diungkap — cerminan kepada kesungguhan Kerajaan dalam mengangkat prinsip MADANI: menyantuni, menyampaikan dan memastikan tiada yang tersisih.