Perpustakaan Perbendaharaan telah mengadakan Hari Terbuka sempena Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025.
Program ini menyasarkan untuk menyebar luas peranan perpustakaan sebagai pusat ilmu, rujukan dan pembelajaran sepanjang hayat kepada warga serta menggalakkan interaksi mesra melalui pelbagai aktiviti menarik.
Seramai 138 orang peserta telah mengambil bahagian dalam beberapa pertandingan yang diadakan, termasuk pertandingan kuiz, video pendek kreatif dan seni coret (doodle) bertemakan kemerdekaan dengan slogan “Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni”, yang bertujuan menggalakkan semangat patriotik dan kreativiti dalam kalangan masyarakat.
Selain itu, para peserta juga menyertai pelbagai aktiviti santai seperti teka buku, permainan tradisional congkak, dam haji, roda impian, cabutan bertuah dan gerai makanan yang menawarkan kerepek, “dessert “, kopi dan kek. Gerai jualan buku oleh Ashe Enterprise, Pak Latip dan Hijjaz Publishing serta pendaftaran keahlian Perpustakaan Perbendaharaan dan u-Pustaka, iaitu perkhidmatan perpustakaan digital negara yang boleh diakses secara dalam talian, turut diadakan.
Melalui pelbagai aktiviti yang dilaksanakan, program ini berjaya merapatkan hubungan silaturahim antara kakitangan Perbendaharaan dalam suasana santai yang penuh dengan semangat cinta negara.
Hadir sama pada program ini adalah YM Raja Muhammad Azhan Shah Raja Muhammad, Setiausaha Bahagian Dasar, Saraan dan Pengurusan MoF dan warga Kementerian Kewangan.