Accessibility Tools
Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Foto

Jelajah Belanjawan 2027 Negeri Selangor

Jelajah Belanjawan 2027 Negeri Selangor

Program Jelajah Belanjawan 2027 Negeri Selangor dimulakan dengan lawatan kerja YBhg. Tan Sri Johan Mahmood Merican, Ketua Setiausaha Perbendaharaan bersama Pasukan Belanjawan 2027 ke Cyberjaya, Selangor.

Dalam rangka program tersebut, YBhg. Tan Sri Johan Mahmood Merican telah mengadakan Mesyuarat Pembentangan Cadangan Inisiatif Belanjawan 2027 Negeri Selangor bersama YB Dato’ Dr. Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor serta pegawai-pegawai kanan Kerajaan Negeri Selangor bagi membincangkan projek keutamaan dan strategi pembangunan ekonomi negeri.

Sesi ini memberi ruang kepada Kerajaan Negeri Selangor untuk mengemukakan pandangan dan cadangan secara langsung kepada Kementerian Kewangan, khususnya dalam usaha memperkukuh ekosistem ekonomi Selangor yang lebih mampan dan berdaya saing.

Antara perkara yang diberi perhatian ialah pembangunan sektor ekonomi berpotensi tinggi, pewujudan pekerjaan berkualiti dengan pendapatan yang setimpal serta pembangunan bakat tempatan sebagai pemangkin pertumbuhan masa hadapan.

Perbincangan turut memberi tumpuan kepada cabaran yang memberi kesan langsung kepada kesejahteraan rakyat, termasuk isu banjir kilat dan kemiskinan bandar. Ini merangkumi keperluan memperkukuh langkah mitigasi dan kesiapsiagaan menghadapi banjir kilat, di samping meningkatkan keberkesanan intervensi bagi menangani kemiskinan bandar serta tekanan kos sara hidup. Beberapa cadangan inisiatif khusus berkaitan kesejahteraan rakyat dan pembangunan komuniti turut diketengahkan.

Dapatan daripada mesyuarat ini akan membantu memperkukuh kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dalam memastikan langkah yang dipertimbangkan melalui Belanjawan 2027 dapat menyokong pembangunan wilayah yang lebih seimbang, tersusun dan memberi impak kepada rakyat.

Pandangan dan cadangan orang ramai bagi Belanjawan 2027 amat  dialu-alukan melalui Portal Cadangan Belanjawan di belanjawan.mof.gov.my sebagai sebahagian daripada proses libat urus dalam penyediaan Belanjawan 2027.

Arkib Foto