Pilih bahasa anda
Kementerian Kewangan (MoF), menerusi Bahagian Kawalan Kewangan Strategik dan Korporat (BKSK), telah mengadakan kunjungan hormat ke atas YBhg. Datuk Hairil Yahri Yaacob, Ketua Setiausaha Kementerian Pelaburan, Perdagangan Dan Industri dan YBrs. Encik Mohd Fathullah Mustafa, Ketua Eksekutif Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran sebagai tanda penghargaan atas kejayaan Kementerian Pelaburan, Perdagangan Dan Industri (MITI) dan Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) yang diiktiraf sebagai antara pemenang Kempen Cashless Boleh 5.0.
Kempen ini dilaksanakan hasil kerjasama dengan Payments Network Malaysia Sdn. Bhd. (PayNet), dengan matlamat memperkukuh dan memperluas penggunaan pembayaran tanpa tunai dalam sektor awam, sekali gus menyokong agenda pendigitalan perkhidmatan kerajaan.
Tahniah diucapkan kepada MITI dan PTPK atas pencapaian cemerlang dalam kategori ‘Excellence Award’ untuk MITI manakala kategori ‘Federal Government (50K-100K Transaction)' untuk PTPK bagi Kempen Cashless Boleh 5.0. MITI dan PTPK telah membuktikan komitmen tinggi dalam memacu agenda digital dengan merekodkan kadar transaksi tanpa tunai melebihi 99%.
Pencapaian ini adalah hasil kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan awam Kerajaan yang kini lebih pantas, selamat, dan telus.
Sempena kunjungan tersebut, hadiah kemenangan telah disampaikan oleh delegasi MoF yang diketuai oleh Puan Siti Khatijah Hamzah, Ketua Seksyen E-Pembayaran dan Projek Khas ICT, BKSK, kepada YBhg. Datuk Hairil Yahri Yaacob selaku wakil MITI dan YBrs. Encik Mohd Fathullah Mustafa selaku wakil PTPK.