Larian Kewangan 2023 anjuran Kelab Perbendaharaan Putrajaya bersempena Hari Sukan Negara (HSN) telah dirasmikan oleh YB Datuk Seri Ahmad Maslan, Timbalan Menteri Kewangan I.
Beliau turut menyertai larian bersama-sama YB Tuan Steven Sim Chee Keong, Timbalan Menteri Kewangan II, YB Tuan Adam Adli Abdul Halim, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, YBhg. Datuk Johan Mahmood Merican, Ketua Setiausaha Perbendaharaan serta pengurusan tertinggi Kementerian Kewangan (MOF) yang lain.
Objektif program ini yang melibatkan 13 agensi di bawah MOF adalah selaras dengan aspirasi HSN untuk menjadikan warga kerja MOF dan ahli keluarga dalam membudayakan sukan dalam kehidupan seharian. Selain menyahut seruan HSN, program ini juga adalah sebahagian daripada Agenda Nasional Malaysia Sihat yang merupakan inisiatif Kementerian Kesihatan Malaysia.
Seramai 3,200 peserta terdiri daripada pegawai dan kakitangan termasuk ahli keluarga MOF dan agensi di bawahnya menyertai larian. Sebanyak empat kategori dipertandingkan iaitu 10KM Terbuka Lelaki dan Wanita, 10KM Senior Lelaki dan Wanita, 5KM Fun Run / Family Run dan 3KM VIP Walk. Pelbagai aktiviti sampingan diadakan dan hadiah menarik disediakan oleh penganjur.