Pilih bahasa anda
Kementerian Kewangan (MoF) berbesar hati menerima lawatan akademik daripada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paduka Tuan, Segamat, Johor yang melibatkan seramai 44 peserta terdiri daripada pelajar dan guru.
Lawatan ini dimulakan dengan sesi taklimat mengenai fungsi dan peranan MoF yang disampaikan oleh YBhg. Dato’ Suhara Salleh, Penyelidik Kanan, MoF.
Sesi soal jawab interaktif turut diadakan bagi memberi peluang kepada para pelajar dan guru untuk mengemukakan pertanyaan, bertukar pandangan serta meningkatkan kefahaman mengenai peranan MoF dalam pengurusan kewangan dan pembangunan ekonomi negara.
SMK Paduka Tuan merupakan antara sekolah yang terpilih di bawah inisiatif Sekolah Angkat MADANI (SAM), cetusan idea YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan. Inisiatif ini bertujuan merapatkan jurang pendidikan antara sekolah bandar dan luar bandar, di samping memperkasa ekosistem pendidikan secara menyeluruh dan inklusif.
Sepanjang lawatan, para peserta menunjukkan keterujaan dan minat yang tinggi, khususnya apabila berpeluang memperoleh pendedahan secara langsung mengenai fungsi serta tanggungjawab MoF.
Diharapkan lawatan ini dapat memberikan pengalaman pembelajaran yang bermakna, menyemai minat para pelajar terhadap bidang ekonomi dan kewangan serta menjadi inspirasi kepada mereka untuk terus mencapai kecemerlangan pada masa hadapan.