YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Kewangan telah berkesempatan mengadakan lawatan kerja rasmi ke Abu Dhabi Emiriah Arab Bersatu (U.A.E) dan telah melawat ibu pejabat Abu Dhabi National Oil Company (ADNOC), yang merupakan salah satu syarikat pengeluar tenaga yang terkemuka di dunia.

Sepanjang lawatan, beliau amat tertarik melihat bagaimana pengeluaran mereka dipantau untuk memastikan kecekapan yang optimum. Teknologi digital dan kecerdasan buatan, atau AI telah digunakan merentasi pelbagai fungsi syarikat tersebut bagi mengurangkan kos dan pembaziran.

Sesi penerangan turut disampaikan oleh Encik Abdulmunim Al Kindi, merupakan salah seorang pengarah di ADNOC. Beliau dan #TeamMOF diberi penerangan berkenaan kepentingan amalan pembaziran sifar di ADNOC, sebagai contoh, pelepasan suar dan karbon dioksida yang dihasilkan akan dikitar semula dan diguna dalam industri lain.

Untuk makluman semua, PETRONAS telah menandatangani perjanjian persefahaman atau MOU dengan ADNOC pada tahun 2021 untuk bekerjasama dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D), bunkering gas asli cecair, atau LNG, minyak asas pelincir dan pembangunan sumber yang konvensional dan bukan konvensional.

Beliau yakin kerjasama sebegini akan dapat meningkatkan prestasi PETRONAS yang telah sedia cemerlang ke peringkat yang lebih tinggi.