YB Datuk Seri Ahmad Maslan, Timbalan Menteri Kewangan I telah melancarkan Dokumen Piawaian Pelaburan Mampan di Kompleks Kementerian Kewangan (MOF), Putrajaya.
Pembentukan tersebut dilakukan dengan mengambil kira piawaian tanda aras berkaitan, amalan industri serta dokumen rujukan antarabangsa diantaranya International Sustainability Standards Board (2022), Exposure Draft: Sustainability Disclosure Standard dan Joint Committee on Climate Change (2022), Task Force on Climate-related Financial Disclosures (TCFD) Application Guide for Malaysian Financial Institutions. Perundingan dan kerjasama yang produktif telah diadakan antara MOF, GLICs, Suruhanjaya Sekuriti, IIC dan dikelola oleh Agensi LAKSANA.
Dokumen Piawaian Pelaburan Mampan sejajar dengan peranan GLICs ke arah mewujudkan nilai dan impak jangka panjang ke atas ekonomi, serta peranannya menyokong komitmen Malaysia dalam memenuhi cita-cita iklim dan agenda kemampanan global.
Dalam pada itu, piawaian tersebut turut mengandungi keperluan mengenai penyepaduan pertimbangan kemampanan dalam proses pelaburan, serta penzahiran yang berkaitan untuk meningkatkan ketelusan dalam amalan pelaburan mampan GLICs.
Sustainable Investing Standards (SIS) juga menyediakan keperluan dan panduan praktikal yang luas sebagai piawaian umum bagi GLICs, di mana GLICs hendaklah memastikan pelaksanaan SIS sejajar dengan mandat dan objektif masing-masing.
Turut hadir dalam majlis tersebut, YBhg. Dato' Zamzuri Abdul Aziz, Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Dasar), YBhg. Dato' Anis Rizana Mohd Zainudin, Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pelaburan), YBhg. Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir, Pengerusi Lembaga Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), YBhg. Dato’ Seri Dr. Awang Adek Hussin, Pengerusi, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia serta Ketua-ketua Jabatan dan Agensi MOF dan Setiausaha-setiausaha Bahagian di MOF.