Pilih bahasa anda
Kementerian Kewangan (MoF) telah menganjurkan Sesi Libat Urus Belanjawan 2027 yang dipengerusikan oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.
Turut hadir YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Menteri Kewangan II; YBhg. Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Ketua Setiausaha Negara; dan YBhg. Tan Sri Johan Mahmood Merican, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, bersama barisan kepimpinan Kerajaan, wakil kementerian dan agensi serta pelbagai pihak berkepentingan.
Sesi libat urus ini merupakan antara platform penting dalam proses penyediaan Belanjawan 2027 bagi mendapatkan pandangan, cadangan dan aspirasi daripada pelbagai sektor serta lapisan masyarakat. Pendekatan ini penting bagi memastikan dasar dan inisiatif yang dirangka mengambil kira realiti semasa, keutamaan rakyat serta keperluan pembangunan negara.
Dalam mendepani landskap ekonomi global yang terus mencabar dan tidak menentu, Belanjawan 2027 akan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh daya tahan dan daya saing ekonomi negara, meningkatkan produktiviti dan pelaburan, mewujudkan pekerjaan berkualiti serta meningkatkan taraf hidup rakyat.
Pada masa yang sama, Kerajaan akan terus memberi perhatian kepada usaha memperkukuh perlindungan sosial, menangani kos sara hidup serta memastikan pembangunan yang lebih seimbang dan inklusif, berlandaskan pengurusan fiskal yang bertanggungjawab dan mampan.
Setiap pandangan dan cadangan yang dikemukakan menerusi sesi ini akan menjadi input penting kepada Kerajaan dalam menilai keutamaan serta merangka inisiatif yang bersasar, berimpak tinggi dan memberikan nilai terbaik kepada rakyat.
Belanjawan 2027 bukan sekadar mengenai peruntukan dan angka, tetapi tentang bagaimana sumber negara dimanfaatkan sebaiknya untuk memperkukuh ekonomi, meningkatkan kesejahteraan rakyat dan membina masa depan Malaysia yang lebih mampan.