YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Kewangan telah berkesempatan untuk menyampaikan ucaptama bagi pembukaan Majlis Malaysian Student Leaders' Summit (MSLS) yang ke-16 yang dianjurkan oleh UKEC (United Kingdom and Eire (Ireland) Council for Malaysian Students).
UKEC sangat dekat di hati beliau kerana semasa beliau dan rakan-rakan belajar di United Kingdom (UK) dahulu, batch beliau yang menubuhkan dan menaikkan nama UKEC sehingga ia dikenali sampai ke Malaysia. Untuk makluman, batch beliau juga yang mengasaskan Projek Kalsom, satu pergerakan di kalangan pelajar-pelajar Malaysia di UK yang masuk ke sekolah-sekolah pedalaman dan luar bandar di Malaysia dan mengadakan sesi motivasi dengan para pelajar. Pergerakan sebegini sehingga kini masih aktif dalam kalangan pelajar-pelajar kita. Beliau amat gembira melihat semangat untuk menyumbang kepada negara dan masyarakat masih lagi kukuh di kalangan warga UKEC dan para pelajar lain.
Tema yang dipilih untuk sidang kemuncak tahun ini adalah Nusa Anak Muda atau ‘Sirens of Change’ di mana juga tepat pada masanya memandangkan kita sebagai sebuah negara berada pada persimpangan kritikal dalam perjalanan untuk membina kembali kehidupan dan ekonomi yang lebih baik yang terencat dek kerana COVID-19.
Oleh itu, perubahan amat diperlukan, tidak boleh ditangguhkan dan juga tidak boleh tergesa-gesa. Anak-anak muda harus bersatu hati dalam mengorak langkah kerana mereka adalah pemimpin masa depan negara. Kejayaan negara di masa akan datang terletak di tangan mereka.
Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada para penganjur korporat yang sentiasa menyokong aspirasi generasi muda dan pemimpin masa depan Malaysia.