Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) di Johor

Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) di Johor

YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Kewangan telah berkesempatan hadir menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) di antara Jabatan Pertanian Negeri Johor bersama syarikat peneraju dan pengusaha tanaman dan industri asas tani.

Di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), Kementerian Kewangan (MOF) telah memperuntukkan RM16.66 juta kepada Jabatan Pertanian Negeri Johor bagi pelaksanaan enam program di bawah Program Jaminan Bekalan Makanan untuk memanfaatkan 1,583 penerima.

Daripada peruntukan ini, sebanyak RM2 juta telah diagihkan untuk Program Kolaborasi Syarikat Peneraju bersama Pengusaha Tanaman serta Industri Asas Tani (IAT), di mana kerjasama antara syarikat peneraju dan pengusaha tanaman dapat dijalinkan bagi memantapkan lagi urusan jual beli hasil pertanian dan seterusnya mewujudkan perjanjian Ladang Kontrak.

Bagi pengusaha kecil, program sebegini membolehkan mereka menarik nafas lega dan menyelesaikan masalah pemasaran dan lambakan produk pertanian yang sering mereka hadapi, serta membuka peluang untuk mengeksport produk mereka ke luar negara. Ia juga merupakan salah satu kaedah untuk mengeluarkan pengusaha yang terdiri daripada petani kecil daripada kepompong kumpulan B40. Di bawah program ini, setiap syarikat akan menerima insentif maksimum berjumlah RM50,000 dan pengusaha akan menerima insentif sehingga RM20,000 dalam bentuk peralatan, kelengkapan dan infrastruktur.

Bagi pihak MOF, beliau berharap program sebegini akan dapat memberikan lonjakan baharu kepada pengusaha dan syarikat peneraju dalam memastikan kelangsungan perniagaan dan pemulihan ekonomi tempatan dapat dicapai sebaik mungkin demi kesejahteraan #KeluargaMalaysia.