YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Menteri Kewangan II telah meluncur lambang identiti korporat baharu Bursa Malaysia Bhd. Pembaharuan segar ini mencerminkan perubahan Bursa Malaysia kepada pengendali bursa berbagai kelas aset selain daripada saham yang termasuk kredit karbon, instrumen pendapatan tetap dan sebagainya.

Dalam ucaptama beliau, YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah berujar Kerajaan akan memastikan pasaran modal Malaysia menjadi mesra rakyat agar segenap lapisan masyarakat dapat mengecapi kekayaan hasil negara serta membina masa hadapan yang lebih terjamin. Ini adalah senada dengan prinsip-prinsip keadilan sosial dan kesaksamaan yang menjadi tunggak kerangka Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat.

Selain daripada itu, beliau juga telah mengumumkan persetujuan Kerajaan untuk mengecualikan cukai keuntungan modal (CGT) serta pendapatan luar negara yang dikenakan ke atas unit amanah secara bertempoh. Ini adalah untuk memastikan hasil keuntungan daripada pelaburan rakyat dapat dioptimumkan untuk membina masa hadapan yang lebih cerah.