YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Kewangan telah berkesempatan berada di majlis pelancaran GENTARI yang telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, Perdana Menteri.
Gentari Sdn Bhd (Gentari) adalah sebuah anak syarikat PETRONAS dan merupakan syarikat pembekal penyelesaian tenaga bersih yang menawarkan rangkaian penyelesaian tenaga boleh diperbaharui, hidrogen dan mobiliti hijau untuk pelanggan komersial, perindustrian dan runcit.
Walaupun baru dilancarkan, GENTARI telah pun melancarkan beberapa inisiatif dan usaha sama dengan beberapa syarikat dalam usaha mencapai misi sebagai sebuah syarikat tenaga bersih terkemuka dunia.
Antara pencapaian GENTARI adalah membangunkan sebanyak 20 unit kenderaan elektrik 2 roda di Malaysia dan 239 unit kenderaan elektrik 3 roda di India menerusi inisiatif VaaS (Kenderaan-Sebagai-Perkhidmatan); Pemasangan 125 unit pengecasan di India dan 68 di Malaysia serta mencapai perjalanan 1 juta kilometer bersih menerusi inisiatif VaaS, bersamaan dengan pengurangan pelepasan karbon sejumlah 83.4 tan.
Kerajaan amat menyokong usaha seumpama ini oleh pihak Syarikat berkaitan kerajaan / syarikat pelaburan berkaitan Kerajaan (GLC/GLIC) serta oleh syarikat-syarikat swasta. Sokongan sebegini diterapkan di dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025) di mana Kerajaan menyasarkan supaya 31 peratus daripada jumlah kapasiti tenaga terpasang negara adalah daripada tenaga boleh diperbaharui menjelang tahun 2025.
Dengan kerjasama pelbagai pihak, Malaysia dapat menempa nama sebagai salah sebuah negara contoh dalam aspek SDG dan ESG dan seterusnya menjadi sebuah ‘rumah’ yang lebih indah, lestari dan mampan buat seluruh #KeluargaMalaysia.