YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Kewangan telah berkesempatan bersama-sama YB Datuk Seri M. Saravanan, Menteri Sumber Manusia dalam mengiringi YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, Perdana Menteri ke Majlis Pelancaran JaminKerja #KeluargaMalaysia 2022 yang berlangsung seiring dengan Karnival JaminKerja Keluarga Malaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

JaminKerja merupakan sebuah inisiatif #Bajet2022 yang dirangka khas untuk mencipta 600,000 pekerjaan buat semua lapisan pencari kerja termasuk graduan, penganggur, orang kurang upaya (OKU), warga emas serta kaum wanita yang ingin bekerja.

Dengan peruntukan RM4.8 bilion, sebanyak 3 program di bawah JaminKerja, iaitu Insentif Penggajian, MySTEP, dan Upskill Malaysia, akan dilaksanakan oleh PERKESO, Agensi LAKSANA dan HRDCorp untuk membantu #KeluargaMalaysia mendapat pekerjaan.

Dengan inisiatif tersebut dan sokongan pelbagai pihak, Kerajaan akan mencipta sekurang-kurangnya 600,000 pekerjaan untuk memanfaatkan #KeluargaMalaysia dan seterusnya memastikan kebajikan mereka terjamin.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari di laman sesawang https://budget.mof.gov.my/manfaat/jaminkerja.html